Selasa, 5 April 2011

Isu Alkitab : Kerajaan Tidak Serius Dan Membelakangkan Enakmen Agama Islam

Ditulis oleh Hadri Yaziz



SHAH ALAM : Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Muhammad Razak Idris menyifatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengenepikan peruntukan Enekmen Agama Islam negeri-negeri bersabit isu Alkitab sebagai tidak wajar dan hanya untuk menarik perhatian masyarakat beragama Kristian berikutan menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April nanti.

Menurut Dr Muhammad Razak, keputusan kerajaan meluluskan pencetakan dan pengedaran Alkitab di seluruh negara Sabtu lalu juga jelas menunjukkan kerajaan tidak serius dalam menangani isu Alkitab ini sekali gus disifatkan sebagai membelakangkan Enekmen Agama Islam negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Oleh kerana itu kerajaan tidak seharusnya demi untuk menjaga hati pada musim-musim tertentu mengakibatkan menguris hati masyarkat Islam," ujar beliau.

Muhamad Razak berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan kitab penganut Kristian itu dicetak dan diedarkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Perkara itu dikaitkan dengan terjemahan perkataan kalimah "Allah" yang menjadi kontroversi sebelum ini.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengumumkan Putrajaya tidak akan menggugurkan enakmen Islam berkaitan dengan larangan bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” ekoran formula penyelesaian isu tersebut sudah ditemui.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula untuk mencari penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimport ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab.

Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Mufit Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut tampil mencabar kerajaan supaya membatalkan undang-undang Islam sekiranya masih bertegas mahu membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia tersebut.

Jelas Dr Muhamad Razak, pengumuman yang dibuat itu juga turut menyinggung perasaan umat Islam seraya membuka ruang tanggapan serong masyarakat terhadap prinsip perundangan yang boleh dimanipulasi dengan mudah demi kepentingan politik pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita menyeru kerajaan supaya tidak tunduk dengan tekanan (enekmen) yang telah disepakati dalam konteks penggunaan kalimah Allah.

"Kita perhatikan kenyataan pemimpin agama berhubung perkara tersebut bukan lagi menjadi isu besar. Persoalannya sejauh mana kandungan dalam terjemahan tersebut mengandungi perkataan-perkataan yang ditegah penggunaannya," jelasnya.

Katanya, beliau juga turut menyeru mekanisma perundingan diutamakan terlebih dahulu sebelum bersetuju dari sudut prinsip dan kerangka perlembagaan yang menjadi teras kepada persoalan perundangan khususnya aspek keagamaan.

"Dalam perbincangan dan pengalaman saya dalam dialog-dialog dengan masyarkat bukan Islam di negara ini, prinsip perundangan dan perlembagaan disepakati. Itu sudah menjadi asas rujukan dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang pertembungan pemikiran.

"Ini bagi memastikan supaya inisiatif dan cadangan itu tidak membelakangkan sensitiviti masyarakat dan melanggar enekmen agama yang sudah dipersetujui sebelum ini," jelasnya lagi.

Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 memperuntukkan, selain kalimah Allah, istilah lain yang tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, dan kadi.

Turut dilarang perkataan ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi dan syeikh.

Tambah Dr Muhamad Razak, sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang Syariah yang menghalang penggunaan kalimah Allah sama ada secara lisan ataupun bertulis bagi agama lain.

Tiada ulasan: