Selasa, 5 April 2011

Idris Jala nafi akan tanding di Ba’kelalan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING– Datuk Seri Idris Jala mengetepikan spekulasi bahawa beliau merupakan “calon misteri” Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan, yang nama calonnya belum diumumkan lagi.

BN Sarawak mengumumkan barisan calonnya semalam kecuali bagi kerusi Ba’kelalan. Penamaan calon diadakan Rabu ini.

“Saya tidak akan terlibat dalam pilihan raya. Saya tahu spekulasi di akhbar-akhbar yang menyatakan bahawa saya mungkin calon misteri itu.

“Saya boleh mengesahkan bahawa saya sama sekali tidak akan bertanding dalam pilihan raya,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipetik Bernama Online.

BN semalam mengumumkan senarai nama 70 calon pilihan raya parti itu tetapi menimbulkan tanda tanya apabila tidak menamakan calon Ba’kelalan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Adenan Satem yang mengumumkan senarai nama itu berkata nama calon Ba’kelalan hanya akan diumumkan menjelang hari penamaan calon pada Rabu.

Adenan memberitahu media bahawa calon itu masih “misteri” buat masa ini dan enggan menyatakan sama ada Idris merupakan “calon misteri” yang dimaksudkan.

Akhbar tempatan The Borneo Post hari ini memetik Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan sebagai berkata: “Calon (Ba’Kelalan) kekal satu rahsia. Perdana Menteri mengetahuinya dan beliau pasti BN akan meletakkan calon yang tepat.”

Kerusi Ba’kelalan di kawasan pedalaman daerah Baram, yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, adalah satu daripada lapan kerusi yang diperuntukkan kepada SPDP, satu daripada empat parti komponen BN Sarawak.

Tiga lagi parti komponen BN ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Sejumlah 71 kerusi menjadi rebutan pada pilihan raya negeri kali ke-10 ini.

Idris, yang juga menteri bertanggungjawab berhubung Program Transformasi Kerajaan, dalam SMSnya kepada Bernama turut menolak kemungkinan beliau akan bertanding kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

“Apabila selesai sahaja tugas saya (di Jabatan Perdana Menteri) saya akan kembali ke dunia korporat. Tidak pening kepala,” kata beliau.

Idris merupakan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines sebelum beliau dilantik menganggotai Kabinet pada 2009.

Beliau juga CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantau beberapa teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi beberapa kementerian.

Tiada ulasan: