Selasa, 12 April 2011

Hentikan penahanan wartawan dan hormati hak ekspresi rakyat

SURAT FMT

Dari Chuah Siew Eng, melalui, e-mel

Kami, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia, membantah penangkapan 11 orang di sidang akhbar anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Kuala Lumpur. Turut ditangkap ialah tiga wartawan, manakala yang selainnya antara sebahagian daripada kira-kira 40 anak muda yang menghadiri sidang akhbar tersebut di KL Sentral, mengenai kempen SMM “Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat”, yang bertujuan menentang politik kotor.

Kami amat kesal bahawa Polis Bantuan KL Sentral menahan tiga wartawan tersebut – A Zhafir dan Muhamad Afendy dari laman sesawang berita Parti Keadilan Rakyat, ”Keadilan Daily”, dan Muhamad Naim dari TV dalam talian kerajaan Selangor, ”TV Selangor” – walaupun mereka memperkenalkan diri sebagai wartawan.

Menurut Muhamad Afendy, kesemua 11 orang ditangkap setelah sidang akhbar selesai dan dibawa ke Balai Polis Jalan Travers untuk siasatan lanjut. Walaupun pihak atasan di situ telah membebaskan ketiga-tiga wartawan setelah identiti mereka dikenalpasti, pada hakikatnya dalam sebuah negara demokrasi wartawan tidak sepatutnya menghadapi ancaman penangkapan oleh polis semata-mata kerana menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat jelata.

Justeru itu, kami menggesa pihak kementerian untuk mengambil langkah memastikan semua anggota polis memahami dan menghormati hak wartawan dan tidak menghalang mereka daripada menjalankan tugas mereka, terutamanya melalui penangkapan dan penahanan.

Kami juga menyeru pihak berkuasa supaya menghormati hak kebebasan ekspresi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun polis berhak menahan peserta perhimpunan di bawah Akta Polis, undang-undang ini tidak boleh disalahgunakan untuk mengongkong kebebasan rakyat. Mahasiswi dan mahasiswa yang menghadiri sidang akhbar tersebut membawa pesanan secara aman dan tidak seharusnya diganggu mahupun ditangkap.

Penulis adalah Pegawai Program Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia

Tiada ulasan: