Sabtu, 2 April 2011

DUN Selangor lulus usul mansuh ISA

Harakahdaily

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor semalam meluluskan usul ‘Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)’ yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Turut diluluskan usul mewujudkan sekretariat khas bagi menggerakkan program-program kesedaran seluruh Selangor untuk menerangkan berkenaan kezaliman akta tersebut.

Dewan juga meluluskan untuk memberikan peruntukkan bagi memasang papan-papan tanda (billboard) di setiap DUN dengan tema ‘Selamatkan Malaysia : Mansuhkan ISA’.

Timbalan Speaker Haniza Talha berkata, melalui usul ini, kerajaan negeri akan menubuhkan sekretariat khas untuk melaksanakan program penerangan termasuk kempen mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor.

Shaari ketika membentangkan usul tersebut berkata, ISA hanya senjata politik kerajaan untuk menakutkan rakyat namun lebih zalim apabila rakyat yang menjadi mangsa ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah.

“Negara Israel yang zalim pun ada undang-undang seperti ISA, tetapi mereka menahan rakyat dibawah kuasa Perintah Tentera 1500, selama 15 hari yang sekarang sudah dipendekkan ke lapan hari, dan apabila ditahan boleh membela di mahkamah tentera. Dan apabila mahkamah tentera yang memang tidak adil ini jika berpuashati disambung enam bulan sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, ISA pula boleh menahan seseorang individu sehingga 60 hari dan boleh disambung ke dua tahun, serta tahanannya pula dikenakan penyeksaan tanpa alasan munasabah.

“Penggunaan ISA ini adalah kuasa kerajaan untuk menerapkan budaya ugut, ancam dan menakutkan rakyat dan kesan daripada itu berlakulah pembolotan dan pemusatan kuasa yang cukup luarbiasa dalam amalan sistem demokrasi negara,” tegas beliau lagi.

Menurut Shaari, usul mansuhkan ISA itu juga terdapat dalam program 100 hari Pakatan Rakyat yang diedarkan menerusi Buku Jingga.

“Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah untuk melonjakkan lagi usaha memberi penerangan kepada rakyat kerana hari ini kita ada kelebihan, untuk melaksanakan program dengan segera,” tambahnya.

Tiada ulasan: