GEORGE TOWN – Seorang bekas ketua pusat khidmat pelanggan Bank Muamalat cawangan USM di sini, sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan pecah amanah wang sebanyak RM14.2 juta enam tahun lalu.
Aishah Mohamed Rose, 50, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap lima tuduhan pecah amanah jenayah wang milik bank itu ketika dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.
Awal tahun lalu, The Malaysian Insider ada melaporkan kerja dalaman menyeleweng transaksi cek melibatkan agensi-agensi kerajaan.
Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009.
Aishah dikenakan tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan sebatan dan denda.
Pada Disember lalu dan Januari lalu, Aishah telah didakwa di mahkamah sama melibat pertuduhan pecah amanah RM1.57 juta dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM200,000
Di bawah tuduhan pertama, Aishah sebagai ejen bank tersebut didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap urusan penguasaan dan perjalanan ke atas harta tertentu milik bank berkenaan iaitu wang RM3,363,936.94, antara 27 Januari 2005 dan 3 Januari 2006.
Sementara mengikut tuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah melibatkan sejumlah wang RM3,679,939.54 antara 20 Januari 2006 dan 3 Januari 2007.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan yang sama antara 5 Januari 2007 dan 2 Januari 2008 melibatkan RM2,889,878.99.
Di bawah tuduhan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan pecah amanah antara 2 Januari dan 24 Disember 2008 melibatkan jumlah bernilai RM2,490,758.40
Mengikut tuduhan kelima, tertuduh didakwa dilakukan kesalahan pecah amanah antara 5 Januari dan 16 Julai 2009 melibatkan RM1,780,852.64.
Dalam pada itu, suami Aishah, Johari Ahmad, 54, adalah bekas peguam bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn Bhd, Azman Abdul Aziz, 49, turut dihadapkan ke mahkamah yang sama atas tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan jenayah pecah amanah itu.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Sitarun Nisa.
Johari dan Azman didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan sebatan dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Devanandan Subramaniam.
Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dan dokumen perjalanan masing-masing diserahkan kepada mahkamah.
Dalam mahkamah yang sama, Azman turut mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn Bhd, Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat mengemukakan kesemua tuduhan itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan