Selasa, 5 April 2011

Bekas pengurus besar Yayasan Selangor hadapi tiga tuduhan rasuah

TERKINI

SHAH ALAMl — Bekas timbalan pengurus besar (pengurusan) Yayasan Selangor, Saifulruddin Sulaiman dikenakan tiga tuduhan rasuah membabitkan wang sebanyak RM45,000 hari ini.

Beliau dibebaskan dengan diikat jamin dan kesnya akan didengar Julai ini.

Saifulruddin telah dipecat daripada jawatannya Februari lalu di sebalik laporan audit menunjukkan Yayasan Selangor mengalami kerugian hampir RM7.41juta sehingga November lalu akibat perbelanjaan tidak telus dan tidak munasabah.

Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah menetapkan wang jaminan RM10,000 dan kes itu akan dibicarakan mulai 18 hingga 22 Julai.

Mat Ghani juga menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan pengurusan kes.

Isterinya, seorang penolong akauntan, menjadi penjamin Saifulruddin.

Saifulruddin, 32, berhadapan dengan tiga tuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ketika kertas pertuduhan dibacakan, Saifulruddin mengaku tidak bersalah dan meminta dia dibicarakan.

Di bawah tuduhan pertama, dia dituduh bersetuju menerima suapan dalam bentuk wang tunai RM20,000 daripada Drift Z Enterprise di Seksyen 7 di sini pada 5 Oktober lalu.

Mengikut tuduhan kedua pula, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM20,000 daripada syarikat itu pada 25 Oktober.

Dia seterusnya dikenakan tuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 sebagai jaminan melepaskan bayaran tambahan sebanyak RM93,982.40 daripada syarikat sama.

Saifulruddin diwakili peguam Sawmellah Nawzumeah.

Sebelum dipecat dari Yayasan Selangor, Saifulruddin telah diarah mengambil cuti bergaji selama sebulan berikutan kontroversi membabitkan perbelanjaan majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dikatakan mencecah RM300,000.

Laporan media sebelum ini menyebut anggaran mengendalikan acara sambutan rasmi Yayasan Selangor itu ialah RM285,000 dengan sebanyak RM91,000 dibayar untuk mendirikan tiga set khemah ‘marquee’.

Bayaran tambahan RM93,982.40 dibayar kepada Drift Z Enterprise untuk menambah khemah ‘marque’ bernilai RM30,412.80.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan laporan audit bulan lalu berkata, keputusan memecat dibuat selepas siasatan awal yang dijalankan pihaknya menunjukkan terdapat penglibatan pejabat timbalan pengurus besar dalam membuat keputusan itu.

Kontroversi perbelanjaan majlis sambutan ulang tahun itu yang didakwa tidak munasabah dicetuskan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tahun lalu.

Isu tersebut turut menyebabkan Sultan Selangor murka dan membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan itu.

Tiada ulasan: