KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata persetujuan pihaknya membawa masalah peneroka Felda ke meja rundingan, membuahkan kehampaan apabila tidak mendapat respon yang diharapkan daripada pihak yang bertanggungjawab.
Justeru beliau tampil sekali lagi mendesak menteri yang bertanggungjawab, Datuk Ahmad Maslan mengemukakan tarikh sesuai untuk diadakan sesi dialog memandangkan banyak isu berbangkit peneroka yang perlu ditangani.
“Saya dan rakan-rakan mengenepikan ego kita untuk kita berbincang dengan beliau dan pihak kementerian, sehingga hari ini saya belum menerima apa-apa perkembangan berkaitan dialog itu bakal diadakan walaupun sekarang sudah hampir penghujung April,” katanya.
Bercakap pada satu sidang media di Ibu Negara hari ini, Mazlan berkata, desakan ke atas Ahmad adalah berikutan masalah besar yang membelenggu peneroka seperti kadar perahan gred sawit dan kos tanaman semula peneroka yang masih belum selesai.
Namun usaha menangani masalah ini gagal mendapat kerjasama dari Ahmad, menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan Felda.
“Meskipun keputusan mahkamah mendapati wujudnya penipuan di kilang-kilang sawit Felda ekoran kemenangan 354 peneroka di Kemang Tiga, Kelantan dan siri-siri saman Felda yang dibuat oleh peneroka berlaku di Gugusan Muakid Labis, kes yang sama berlaku di Gugusan Serting, Negeri Sembilan.
“Tetapi nampaknya berdasarkan pemantauan kita, tidak banyak perubahan yang dilakukan, perubahan Felda untuk memperbaiki prestasi dan operasi mereka di kilang-kilang kelapa sawit sehingga kadar perahan kelapa sawit yang dipertikai oleh para peneroka yang diperoleh sekitar 18 hingga 19 peratus, nampaknya tidak banyak berubah sehingga hari ini,” katanya.
Sebelum ini, ANAK mengemukakan cabaran debat termasuklah ketika pilihanraya kecil DUN Tenang dan di Parlimen namun kesemuanya ditolak oleh Ahmad.
Menurut Mazlan lagi, beliau berkesempatan bercakap dengan Ahmad Maslan di Parlimen berhubung isu kos tanaman semula peneroka, namun sehingga hari ini tidak
ada sebarang respon dari pihak berkenaan.
“Saya berkesempatan bercakap sendiri dengan Datuk Ahmad Maslan ketika di Parlimen dalam kes wang tanam semula dimana masih terdapat sekitar 5,000 hingga
6,000 peneroka yang dinafikan untuk mendapat wang tanam semula.
“Tetapi sampai hari ini tidak nampak respon balas, walaupun ada dari pihak pengurusan Felda tetapi respon itu tidak berpihak kepada peneroka di mana rundingan terlalu lama, maka peneroka yang berharap sangat dengan RM 17,000.00 wang tanam semula yang mereka carumkan, tidak perolehi,” tegasnya lagi.
Menurut Mazlan keadaan ini membayangkan bahawa pihak kerajaan dan Felda khususnya tidak serius dalam menyelesaikan isu-isu yang berbangkit sehingga menyebabkan peneroka terpaksa menggunakan saluran perundangan.
Beliau menambah, terdapat 10 saman yang sedang dalam proses mahkamah yang difailkan oleh peneroka terhadap beberapa isu yang membabitkan kepentingan mereka yang selama ini dinafikan.
“Antara saman yang akan dikemukakan di Gugusan Bera,Pahang yang melibatkan kes kilang kelapa sawit sejumlah lebih kurang 550 orang peneroka terhadap 3 kilang kelapa sawit. Kedua tuntutan wang tanam semula di Gugusan Kerteh, Terengganu yang melibatkan hampir 100 orang peneroka. Ketiga melibatkan Felda Redong, Segamat, Johor berkaitan tuntutan wang tanam semula melibatkan hampir 40 orang peneroka dan di Felda Aping Timur, tuntutan insentif wang tanam semula di bawah RISDA,” katanya.
Ekoran kegagalan sistem pentadbiran ini juga membawa kepada tindakan lebih ramai peneroka yang keluar daripada pentadbiran Technoplant.
Technoplant adalah anak syarikat Felda yang mengendalikan kebun-kebun peneroka.
“Sebenarnya ini merupakan satu isyarat yang kalau Felda peka, dia akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mempertingkatkan reputasi mereka, kalau benar mahu muncul sebagai satu syarikat GLC kerajaan yang betul-betul berwibawa dalam membangunkan tanah yang jumlahnya lebih dari satu juta ekar. Saya fikir Felda merupakan syarikat tanah yang saya fikir terbesar di dunia.
“Tapi kalau begini gambarannya, ia akan menjatuhkan imej kerajaan dan Felda bukan sahaja di Malaysia tapi di peringkat antarabangsa kerana Felda mempunyai syarikat-syarikat pelaburan mereka di luar negara,” tambah beliau.
Khamis, 21 April 2011
ANAK : Menteri Masih Berdegil Tak Mahu Debat Atau Dialog
TVS NEWS
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan