| Abd Shukur Harun |
| Setinggi-tinggi tahniah kepada pimpinan dan seluruh warga Pakatan Rakyat kerana berjaya sepenuhnya mengadakan Konvensyen Kedua Pakatan di Pulau Pinang Ahad lalu. Tahniah khusus kepada Dr. Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Sekretariat Konvensyen dan seluruh panitia besar dan kecilnya kerana menyelenggarakan Konvensen tersebut dengan teratur, lancer dan mencapai matlamat serta menarik perhatian umum. Ada tujuh kejayaan besar konvensyen itu ialah: Pertama: Mampu mencapai matlamat mengumpul dan memperlihatkan kesepakatan dan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun selama dua tahun ini ia ‘diserang’ tidak henti-henti oleh musuh politiknya dari segenap sudut. Kira-kira 2,000 yang hadir tidak berganjak dari awal hingga akhir menghadiri Konvensyen tersebut - menjadi manifestasi keazaman dan kesungguhan warga Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Pakatan. Kedua, telah berjaya menjawab semua fitnah dan tuduhan musuh politknya dengan jelas dan meyakinkan. Puluhan pengamal media – dalam dan luar negara – menyaksi dan melaporkan jawapan ini. Ketiga, kejayaan Pameran Kejayaan Pakatan Rakyat yang memerintah beberapa buah negeri. Pameran tersebut member erti dan memeriahkan konvensyen tersebut. Keempat, keputusan padu – dengan sebulat suara - mengekalkan terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai ahli parlimen. Ini tentu sekali mengecewakan harapan musuh politik Pakatan Rakyat untuk menyisihkan sama sekali Anwar dari arena politik nasional dan antarabangsa. Keputusan terus mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membuat ucapan penggulungan di konvensyen tersebut. Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat Khamis lalu, tanpa diberi peluang membela diri bersabit isu Apco. Kelima, pengumuman Karpal Singh yang menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dengan segala peruntukan yang terkandung di dalamnya. Walaupun pengumumkan pemimpin DAP ini kemungkinan tidak akan meredakan tuduhan musuh politik Pakatan, namun pengumuman ini sangat membantu menjelaskan kedudukan isu Islam ini kepada semua pihak. Kejayaan keenam Konvensyen Pakatan Rakyat itu ialah mengumumkan program 100 hari untuk rakyat melalui reformasi tulen yang boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan apabila berkuasa. Program itu adalah resolusi sepuluh perkara yang menggariskan secara terperinci bagaimana Pakatan akan mentadbir negara untuk kebaikan semua rakyat Malaysia jika berkuasa. Pemimpin Pakatan akan menandatangani dokumen tersebut, yang dijangka akan dijadikan manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang. Kejayaan ketujuh konvensyen itu ialah mengesahkan dokumen bertajuk 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya. Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi iaitu rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan. Ini bukan sebuah ilusi atau khayalan pengembara, tetapi sebuah kenyataan – lebuh raya perjuangan yang panjang dan terbentang luas - yang sangat menjanjikan kemenangan jika Pakatan Rakyat dapat mengekalkan terus kesepaduan dan gerak kerja serta strategi yang bijaksana. Selepas konvensyen ini, gerak kerja terawal bagi pendukung Pakatan Rakyat sedang menanti di Dun Tenang, Labis, Johor untuk berdepan dengan sebuah pilihan raya kecil di sana. Tentu saja kesepaduan warga Pakatan Rakyat dan rakyat umum yang menyokongnya akan menumpukan perhatian ke sana, sebuah pilihan raya kecil berskala besar justru Umno BN dijangka akan berhempas pulas untuk mempertahankan Dun tersebut, sementara Pakatan Rakyat pula – yang diwakili PAS - juga akan berusaha keras untuk menawan Tenang. Kita yakin dengan suntikan semangat baru di konvensyen di Pulau Pinang itu, warga Pakatan Rakyat akan berusaha keras dengan penuh keazaman, mengatur strategi kempen dengan bijaksana. Warga Pakatan Rakyat tentu saja mampu berdiri gagah di Dun Tenang ini justru ia telah menunjukkan kemampuan menangkis segala serangan politik musuh politik Pakatan. |
Selasa, 21 Disember 2010
Tujuh kejayaan Konvensyen Pakatan Rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan