Selasa, 21 Disember 2010

Seorang lagi pelajar mengadu dirogol bapa saudara

KENINGAU KINI

KENINGAU: Seorang lagi pelajar salah sebuah sekolah menengah di Sook mengadu dirogol oleh bapa saudaranya di salah sebuah hotel di daerah ini pada 1 hingga 5 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed berkata, mangsa yang berumur 16 tahun dan beralamat di Kg. Kipaliu Baru Sook itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu, jam 2.30 petang pada 13 Disember lalu.

Katanya, kejadian itu mula berlaku di bilik 208 salah sebuah hotel kos sederhana di sini pada 1 Disember lebih kurang jam 8.00 malam di mana mangsa dipaksa melakukan hubungan seks oleh suspek yang merupakan adik ipar kepada ibu suspek.

“Pada kejadian itu suspek telah mengugut mangsa, sekiranya mangsa tidak menurut kemahuan suspek,” kata Zahari kepada media di sini kelmarin.

Zahari berkata, menurut rakaman percakapan mangsa, mangsa telah dirogol oleh suspek sebanyak lima kali dari 1 hingga 5 Disember.

Katanya, mangsa mengadu tidak dapat menghubungi sesiapa dan juga takut hendak melarikan diri kerana suspek sentiasa mengawasi pergerakan mangsa.

Suspek dipercayai bertugas sebagai anggota tentera di Kem Labuan. Walau bagaimanapun belum ada tangkapan dibuat.

Siasatan dijalankan melalui Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki suspek giat dijalankan.

Kes rogol pelajar ini adalah yang kedua di salah sebuah sekolah menengah di Sook dalam tempoh sebulan.

Kejadian pertama pada 17 November lepas berlaku di salah sebuah hotel murah di pekan ini.

Kejadian itu membabitkan pelajar 14 tahun, mengadu dirogol oleh teman lelakinya yang berumur 19 tahun.

Tiada ulasan: