Selasa, 21 Disember 2010

Minta polis pantau pemabuk

SINAR HARIAN ONLINE

PUCHONG – Penduduk Bandar Puteri 12 di sini memohon jasa pihak polis memantau aktiviti pemabuk yang sering menjadikan laluan keluar dan masuk ke perumahan elit itu sebagai tempat melepak.

Difahamkan, ia berikutan kedudukan lokasi itu di atas bukit dan membolehkan orang luar melihat pemandangan indah di sekitar Puchong.

Wakil penduduk, Sam Yew Mein, 60, berkata, apa yang membimbangkan ‘tetamu’ luar itu bukan sahaja berpeleseran di kawasan itu sambil menikmati minuman keras tetapi turut membuka baju mereka.

Katanya, lebih menimbulkan situasi kurang selesa, apabila kaki botol berkenaan turut memasang lagu dengan kuat di jalan masuk perumahan itu tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat setempat.

“Keadaan itu boleh dilihat setiap kali Jumaat dan Sabtu. Ramai yang melepak di situ dari jam 11 malam hingga awal pagi bersama rakan mereka.

“Masalahnya mereka ini sering mabuk sehingga tidak mempedulikan penduduk yang melalui jalan berkenaan untuk keluar dan masuk ke kawasan perumahan,” katanya yang mengadukan perkara itu kepada Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias ketika program senam pagi bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, pagi semalam.

Yew Mein berkata, ada penduduk mengadu takut untuk melalui kawasan itu apatah lagi apabila melihat kaki mabuk mula membuka baju masing-masing dan berdiri di tepi jalan.

“Itu adalah satu-satunya jalan masuk ke perumahan, meskipun ada pengawal keselamatan yang mengawal, kami tetap berasa bimbang.

“Justeru, kami memohon pertolongan polis untuk memantau kegiatan orang luar ini,” katanya kepada Sinar Harian yang memaklumkan meskipun begitu kadar jenayah di situ masih ditahap tidak membimbangkan.

Tiada ulasan: