Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama kerajaan-kerajaan negeri dan daerah dari serata dunia telah menandatangani persetujuan mempertingkatkan usaha bersama menangani pengeluaran gas rumah hijau, menggalakkan penggunaan tenaga dengan lebih cekap, sambil meningkatkan penjanaan tenaga daripada sumber-sumber yang boleh diperbaruhi.
Kerajaan-kerajaan negeri dan daerah telah berjumpa di Cancun, Mexico untuk "Climate Leaders Summit" yang diadakan sempena perbincangan iklim Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga bersama Selangor dalam menandatangani perjanjian tersebut.
Kedua-dua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat merupakan kerajaan negeri yang pertama di Asia menyertai perjanjian tersebut. Kerajaan-kerajaan yang lain termasuk Bavaria, California, New South Wales dan Quebec.
Ketika kerajaan-kerajaan peringkat negara gagal mencari persetujuan dalam usaha menangani perubahan iklim, kerajaan-kerajaan negeri dan daerah telah mengambil inisiatif melawani krisis ini.
Melalui bidangkuasa ke atas isu-isu tempatan, kerajaan-kerajaan negeri mempunyai tanggungkawab yang penting dalam menangani perubahan iklim. United Nations Development Programme (UNDP) menjangkakan bahawa 50-80% tindakan yang perlu untuk menjalinkan satu persetujuan sedunia berlaku pada tahap negeri ataupun tempatan.
"Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat komited untuk menangani isu-isu alam sekitar, seperti perubahan iklim," kata Elizabeth Wong, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal-Ehwal Pengguna. "Perubahan iklim akan membawa kesan terhadap pertanian, sumber air, kestabilan cuaca, keselamatan persisiran pantai dan kualiti hidup kita semua."
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia merupakan tugas kami untuk mempersediakan rakyat dan agensi-agensi kerajaan untuk berhadapan dengan kesan-kesan perubahan iklim."
Elizabeth Wong (gambar kanan) juga menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kekurangan ikhtiar dari kerajaan pusat.
"Walaupun, pada tahun lalu di persidangan iklim Copenhagen, Perdana Menteri telah menyuarakan janji-janji untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sebanyak 40% pada tahun 2020, kami belum melihat sebarang tindakan bermakna dari kerajaan pusat," kata beliau.
"Kerajaan pusat terlalu keliru dan lambat bertindak dalam isu ini. Rang undang-undang tenaga boleh bahru dibaca di Parlimen pada minggu lepas mempunyai mekanisma 'Feed-In Tariff' yang penting. Mana-mana negara yang berjaya meningkatkan penggunaan tenaga boleh bahru mempunyai mekanisma tersebut. Walau bagaimanapun, rang undang-undang tersebut membiayai 'Feed-In Tariff' ini melalui caj 1% ke atas bil elektrik."
"Lebih baik dari membebankan rakyat dengan caj 1% tersebut, kerajaan pusat sepatutnya mengurangkan subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan menyalurkan penjimatan terhadap membangunkan industri tenaga boleh bahru," kata Wong. "Bersama-sama langkah-langkah penjimatan, tenaga boleh bahru perlu menggantikan penggunaan sumber tenaga minyak fosil untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau."
"Satu lagi contoh kekeliruan Perdana Menteri adalah rancangan beliau untuk memaksa penggunaan tenaga nuklear walaupun rakyat Malaysia membantah. Ini akan mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar. Najib ingin membazirkan RM21.3 billion walaupun pada kita sepatutnya memandang ke arah tenaga suria. Pengeluar panel solar antarabangsa seperti Q-Cells dan FirstSolar bertapak di negeri Selangor dan Kedah. Kita sepatutnya memperkuatkan sektor ini dan bukan terperangkap dalam jalan mati yang toksik."
Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Selangor berancang untuk menambah usaha untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai perubahan iklim, mempersediakan agensi-agensi kerajaan untuk berhadapan dengan kesan-kesan perubahan iklim, serta menggalakkan rakyat dan pihak bisnes untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.
*Kenyataan yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor boleh didapati di sini: http://www.theclimategroup.org/_assets/files/Cancun-Statement.pdf
**Kenyataan media daripada Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan