Jumaat, 10 Disember 2010

Presiden Akim sedia beri Zaid laluan, AGM minggu depan



Zaid terdahulu berkata akan menubuhkan parti politik baru selepas meninggalkan PKR. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Zakaria Salleh sedia memberi laluan kepada Datuk Zaid Ibrahim untuk menerajui parti tersebut jika bekas pemimpin PKR itu sedia menyertainya.

The Malaysian Insider difahamkan Akim merupakan antara beberapa parti yang Zaid telah mengadakan perbincangan sejak sebulan lalu.

Sehubungan itu, Zakaria yakin Zaid yang meninggalkan PKR baru-baru ini kemungkinan besar akan menyertai Akim bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangkakan akan diadakan awal tahun depan.

Menurut Zakaria, melalui perbincangan sebelum ini Zaid telah menyatakan persetujuan untuk menyertai parti yang berpejabat di Kelantan itu.

“Datuk Zaid telah menyatakan persetujuan untuk menyertai Akim, kita juga mengalu-alukan kedatangan beliau ke parti ini.

“Kita juga telah berbincang hala tuju parti dengan barisan kepimpinan dan bersetuju untuk menerima Zaid sekiranya beliau mahu menyertai kita, selain itu kita lihat beliau seorang individu yang tidak berkepentingan peribadi dan ia adalah tunjang kekuatan beliau,” katanya.

Sumber-sumber yang rapat dengan Zaid memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan membuat pengumuman rasmi awal bulan depan.

“Memang ada banyak pemimpin parti (dorman) yang menemui Datuk Zaid termasuk Akim. Datuk Zaid akan membuat pengumuman dalam waktu terdekat, kemungkinan awal bulan depan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

“Menubuhkan parti baru kemungkinan mengambil masa yang lama, satu hingga dua tahun... jadi, kemungkinan besar Datuk Zaid akan menggunakan parti yang sedia ada... parti dorman sebagai platform,” kata sumber itu.

“Jadi kita harap Zaid akan menyertai kita dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan kita dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau tidak perlu tubuhkan parti baru,” kata Zakaria ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Akim amat memerlukan individu seperti Zaid yang dilihat boleh membawa perubahan besar terhadap parti itu bukan hanya di Kelantan, tetapi juga di seluruh Malaysia.

“Akim sudah berusia 15 tahun, tapi kami hanya mampu berada di Kelantan sahaja, jadi dengan penyertaan Zaid kita harap beliau boleh membawa perubahan yang besar dalam politik negara kita.

“Kita juga harap beliau boleh membawa Akim maju ke hadapan,” katanya.

Tambah Zakaria, Akim akan mengadakan perhimpunan agung di Kuala Lumpur minggu depan bagi memilih barisan kepimpinan yang baru.

Zakaria berkata sekiranya Zaid menyertai Akim dan bertanding bagi jawatan presiden parti beliau akan memberikan laluan kepada bekas menteri di jabatan perdana menteri itu untuk menerajui parti.

“Kalau Zaid sertai Akim dan mahu bertanding atas tiket presiden parti, saya selaku presiden Akim akan memberikan laluan kepada beliau.

“Kenapa saya mahu serahkan jawatan presiden kepada Zaid? Ini kerana saya lihat beliau adalah seorang tokoh pemimpin yang serba boleh dan boleh membawa Akim maju ke depan lagi,” katanya.

Mengenai perancangan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Zakaria berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan untuk bertanding.

“Di Kelantan kita kemungkinan besar akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen, di negeri-negeri lain kita masih lagi dalam perbincangan,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Kelantan, Wan Rahimah Wan Hamat berkata, Akim boleh bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah di negara ini.

Katanya, ini berikutan anggota jawatankuasa parti itu berjaya menyelesaikan isu dalaman parti berkenaan dengan kerjasama jabatannya baru-baru ini.

“Oleh itu tidak timbul parti politik itu tidak boleh menjalankan aktivitinya kerana diragui status pendaftarannya dengan jabatan ini,” katanya.

Sebelum ini Zaid mengumumkan akan menubuhkan parti baru pada Januari depan selepas keluar PKR baru-baru ini, antara lain kerana masalah berkaitan dengan pemilihan kepimpinan pusat parti itu.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai nama parti, bentuk perjuangan dan organisasi parti baru itu akan diumumkan pada Januari ini.

Tiada ulasan: