Jumaat, 10 Disember 2010

Persatuan Cina Muslim pohon penempatan khas saudara baru

BERNAMA


Ikram berkata penempatan tersebut akan membantu mewujudkan budaya baru di kalangan saudara baru Islam. — Foto Reuters

JITRA— Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis berhasrat mewujudkan pusat penempatan khas bagi menempatkan saudara baru untuk memudahkan persatuan itu memantau aktiviti golongan berkenaan.

Setiausahanya Mohd Ikram Loh Abdullah berkata mereka telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri Kedah untuk mendirikan pusat itu selain menyediakan perancangan untuk pusat itu.

“Kami masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini.

Beliau yang juga penerima Tokoh Saudara Kita pada majlis sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri Selasa lepas, berkata kewujudan pusat penempatan khas itu akan memudahkan hasrat persatuan untuk mewujudkan satu budaya baru di kalangan saudara baru Islam di sini.

“Sekiranya pusat ini dapat ditubuhkan, ini memudahkan pihak kami memantau setiap aktiviti harian mereka kerana golongan ini sangat memerlukan bimbingan. Golongan baru ini akan didedahkan dengan persekitaran dan budaya baru selepas memeluk Islam,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat meluluskan permohonan dengan secepat mungkin agar dapat membantu saudara baru Islam mengetahui setiap masalah yang mereka hadapi, sekaligus menjadikan mereka berasa tidak dipinggirkan.

Mohd Ikram Loh berkata kebanyakan saudara baru Islam tidak mempunyai bimbingan dan bantuan sehingga ada segelintir mereka berbalik semula kepada agama asal kerana tidak mempunyai tempat bergantung dan berbincang soal agama.

“Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah memeluk Islam tetapi masih mengamalkan cara hidup lama sebelum Islam iaitu minum arak dan makan di kedai-kedai tidak halal,” katanya.

Beliau berkata golongan saudara baru ini kadang-kadang memeluk Islam disebabkan untuk berkahwin, terpaksa atau faktor kewangan dan ini menjadikan mereka longgar dari segi akidah.

Situasi itu memerlukan mereka dibimbing dan dipantau agar lebih memahami agama Islam dengan lebih mendalam, katanya.

Tiada ulasan: