Isnin, 6 Disember 2010

Kerajaan negeri Kelantan jalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Daerah Klang

SELANGOR KINI

KLANG – Kerajaan Negeri Kelantan akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Daerah Klang berhubung kejayaan kerajaan negeri Selangor dalam Projek Tanaman Fertigasi cili dan rock melon di Taman Agrotek, Sementa.

Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Wan Najib Sabri Wan Ali berkata, lawatan beliau bersama 40 peserta terpilih dari setiap daerah di Kelantan memberi peluang kepada peserta untuk melihat sendiri bagaimana proses penanaman tersebut mampu menjana sumber pendapatan penduduk.

Menurut Wan Najib, lawatan kali ini turut disertai golongan muda dan veteran yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, rakyat digesa untuk merebut peluang perniagaan melalui pertanian yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha menjana sumber pendapatan rakyat.

“Kita harus merebut peluang yang disediakan kerajaan negeri melalui pelbagai kemudahan di bawah Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang dengan bimbingan pegawai dan kakitangan terlatih dalam bidang pertanian,” kata Adun Sementa itu.

Jelas Abdul Rahman, adalah satu kerugian besar kepada rakyat jika peluang sebegini tidak direbut dan dibiarkan begitu saja kerana tanaman rock melon mampu menghasilkan pulangan yang lumayan.

Tiada ulasan: