Jumaat, 3 Disember 2010

Isu APCO: Jawatankuasa Parlimen enggan benar Anwar beri keterangan


PETALING JAYA - Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen memutuskan untuk tidak membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan berhubung kenyataannya mengaitkan 1 Malaysia dengan gagasan One Israel tujuh bulan lalu.

Langkah jawatankuasa itu, yang diumumkan hari ini, dilihat usaha tergesa-gesa untuk menggantung Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat daripada Parlimen, kata Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, jawatankuasa yang berpengaruh itu memutuskan untuk hanya bergantung pada surat firma perhubungan awam APCO dan tidak memanggil saksi-saksi lain termasuk Anwar untuk memberikan keterangan.

Keputusan itu menyebabkan Karpal dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa memutuskan untuk keluar mesyuarat jawatankuasa itu.

“Saya dan Siva tiada alternatif tetapi untuk menarik diri,” kata Karpal pada sidang media di sini petang ini.

Laporan The Malaysian Insider minggu lalu melaporkan, Anwar (gambar) kemungkinan akan digantung daripada Parlimen ekoran syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasaan mengaitkan gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan One Israel yang dibawa bekas perdana menterinya Ehud Barak.

Malah sesetengah pihak melihatnya sebagai usaha strategik Barisan Nasional (BN) untuk mengeluarkan Anwar buat seketika menjelang pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Selain itu, langkah tersebut didakwa sebagai tindakan balas ekoran keputusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengeluarkan wakil-wakil BN dari Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Anwar sebenarnya telah dipanggil oleh jawatankuasa itu pada 8 Jun lalu tetapi ditangguhkan sesi mendengar keterangan selepas beliau mendesak agar diiringi oleh peguam - bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan.

Beliau kemudian dibenarkan diiringi oleh Ambiga dengan dikenakan syarat-syarat ketat iaitu tidak dibenarkan bercakap ketika prosiding.

Pun begitu, prosiding Anwar ditangguhkan dan perkara itu tidak dibangkitkan sehingga pagi ini.

Pada 22 April lepas, ekoran usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar berhubung dakwaan beliau kononnya konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide.

Apco Worldwide yang menafikan dakwaan itu dilaporkan berkata kerajaan Malaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1Malaysia diumumkan oleh Najib dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu dianggotai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee selain Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Sivarasa dan Karpal.

Tiada ulasan: