Jumaat, 3 Disember 2010

BAPAK selesai 30 peratus aduan warga FELDA

BERNAMA

ALOR SETAR: Sebanyak 30 peratus daripada 717 aduan yang dikemukakan oleh masyarakat FELDA melalui Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (BAPAK) dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas biro itu ditubuhkan.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata daripada 717 aduan yang dibuat, 600 adalah kes membabitkan aktiviti dan perancangan tanah rancangan FELDA dan bakinya adalah kes peribadi yang Bapak tidak boleh masuk campur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Felda Lubuk Merbau, 60 kilometer dari sini, hari ini selepas memberikan taklimat cadangan penyusunan semula GWGF di bawah Model Baru Ekonomi, Sosial dan Pendidikan untuk generasi baru FELDA bagi 20 tahun akan datang dan sambutan Hari Keluarga peringkat Kedah dan Perlis.

Seramai 10 orang dilantik menganggotai BAPAK. Mereka terdiri lima orang anak FELDA dan lima orang dari GWGF untuk membuat penilaian dan meneliti masalah-masalah yang dikemukakan.

"Ada masalah yang boleh kita selesaikan dengan cepat dan ada juga masalah yang ambil masa. Bagaimanapun kita akan adakan mesyuarat setiap bulan bagi membincang dan menyelesaikan segala masalah yang dikemukakan," katanya.

Beliau berharap, masyarakat FELDA akan menggunakan BAPAK bagi mendapatkan maklumat balas ke arah memajukan lagi tanah rancangan FELDA di samping menjaga keharmonian dalam kalangan peneroka.

Tiada ulasan: