Selasa, 26 Oktober 2010

BN yakin pembangkang lambat laun terima Menara Warisan Merdeka


bung mokhtarOleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yakin anggota-anggota pembangkang lambat laun akan menerima cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat itu walaupun buat masa ini mereka menentangnya.

Dalam perbahasan mengenai Bajet 2011, Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, pihak pembangkang tidak harus mempertikai cadangan ini kerana mereka akan "menelan balik apa yang mereka kata" pada akhirnya.

Sebagai contoh katanya, Pakatan Rakyat, yang mengutuk projek Putrajaya yang menelan belanja berbilion ringgit ketika mula dibangunkan, kini menjadi destinasi impian mereka akhirnya.

"Malahan mereka menyatakan sebelum ini, mereka mahu melelong Putrajayakerana mereka mendakwa membazir wang pembayar cukai. Kini mereka mahu mengambil alih Putrajaya pula.

"Mereka juga pernah mengutuk pembinaan Jambatan Pulau Pinang tapi sekarang mereka mahu jambatan kedua," kata Mohamed dengan sinis.

Pembangkang tidak pernah bersyukur

Menyambut kata-kata Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), beliau berkata pihak pembangkang tidak pernah bersyukur mengenai apa yang kerajaan telah buat untuk negara ini.

Beliau juga mendakwa bahawa mereka telah "memanipulasi fakta" dengan mendakwa syarikat pengurusan dana terbesar negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan mengguna wang pembayar cukai.

"Tapi PNB menjelaskan bahawa mereka tidak akan menyentuh wang kerajaan atau dana unit amanah untuk membina bangunan pencakar langit itu. Malahan mereka akan menggunakan sumber dana dalaman untuk menampung kos pembinaan," kata Bung.

Pakatan Rakyat telah berkempen secara intensif menentang cadangan itu dengan mendakwa projek itu akan menjadi sebuah lagi projek "gajah putih" di negara ini.

Ketika ahli-ahli parlimen bertelagah tentang projek yang kontroversial ini di Parlimen, hampir 170,000 rakyat Malaysia telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pembinaan menara ini menerusi laman jaringan sosial Facebook.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai "1Malaysia Reject 100-storey Mega Tower" ditubuhkan minggu lalu selepas projek itu buat pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu.

Tiada ulasan: