Selasa, 6 April 2010

Warga Emas Kumpul Lebih 2,000 Keping Setem



Warga emas Lai Yoon Cheng, 83, menunjukkan koleksi setem lama yang dikumpulnya sejak kecil sebelum Perang Dunia kedua meletus. - Foto BERNAMA

BALING: Hobi mengumpul setem dari usia yang muda membolehkan seorang warga emas kini mempunyai koleksi lebih 2,000 keping setem termasuk dari luar negara sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

Lai Yoon Cheng, 83, mula mengumpul setem sejak 1936 ketika beliau menuntut di sebuah sekolah Cina di Pulau Pinang.

Katanya kerana minat untuk mengumpul setem, beliau sanggup menyelongkar tong sampah di kawasan pejabat kerajaan dan pelabuhan untuk mencari sampul surat yang dibuang.

"Saya juga mendapat dari rakan selain membeli dengan harga lima sen atau 10 sen sekeping ketika itu," katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Lai, ketika Perang Dunia Kedua berlaku, beliau yang ketika itu tinggal di Pulau Pinang, telah melarikan diri bersama keluarganya ke Seberang Perai dengan menaiki sampan pada waktu malam.

"Dalam keadaan genting itu pun saya tak bawa buku setem saya," katanya.

Kini Lai menetap di Kampung Seberang Wat, Baling, dan setem-setem koleksinya itu masih dijaga dengan baik sehingga sekarang.

Antara koleksi setemnya itu ialah dari Senegal, Belanda, Haiti, Rhodesia, Peru, Brazil, Trinidad, China dan Brunei selain setem negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Lai berkata, walaupun ada pihak yang berminat membeli koleksi setemnya tetapi beliau tidak menjual kerana harga yang ditawarkan adalah rendah.

Katanya ketika zaman kependudukan tentera Jepun, beliau turut mendapat setem negara Jepun pada zaman itu dari seorang anggota tentera Jepun yang disimpannya sehingga sekarang.

Beliau kehilangan lebih 1,000 keping setem dalam koleksinya akibat banjir besar di Baling hampir 15 tahun lepas.

Lai berkata anaknya tidak berminat untuk meneruskan hobi mengumpul setem dan disebabkan itu beliau mahu menjual kesemua koleksinya jika ada tawaran yang wajar.

Tiada ulasan: