Sabtu, 3 April 2010

Pemilihan Soi Lek cepatkan pengkebumian MCA?

Oleh MARCK HAN


MESYUARAT Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang berakhir beberapa hari lalu mencipta pelbagai sejarah tersendiri, sama ada baik mahupun sebaliknya bergantung kepada siapa dan bagaimana ia ditafsirkan.

Malah, sejarah dicipta itu boleh dianggap antara peristiwa paling signifikan dalam sejarah MCA sejak ia diasaskan 61 tahun lepas. Berakhirnya EGM MCA itu pada zahirnya mewujudkan suasana bertenang buat seketika waktu selepas parti berkenaan bergelumang dengan tempoh ketidaktentuan yang hampir melumpuhkannya.

EGM Ahad lalu, yang kedua dalam tempoh enam bulan menyaksikan jumlah kehadiran perwakilan yang sangat tinggi, 97.52%, bersamaan 2318 perwakilan.

Buat julung kalinya, seorang pemimpin berskandal yang ditangkap basah dalam perbuatan seks diberi kepercayaan menerajui MCA. Mungkin ramai yang tersentak dengan kesudahan pemilihan itu tetapi hakikatnya inilah yang dimahukan perwakilan.

Ia satu peristiwa bersejarah kerana belum pernah berlaku dalam sejarah politik MCA apatah lagi dalam parti-parti komponen BN. Dengan kemenangan bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek pada pemilihan jawatan Presiden mengetepikan dua pesaingnya, Tan Sri Ong Ka Ting dan Dato' Sri Ong Tee Keat dengan undi tipis, beliau kini menjadi Presiden MCA tertua iaitu pada usia 63 tahun.

Lebih signifikan lagi, kemenangan terbabit menyaksikan mantan Menteri Kesihatan itu melengkapkan comeback beliau ke dalam persada politik MCA dalam stail yang cukup hebat. Sungguhpun dalam tempoh 2 hingga 3 tahun kebelakangan ini kerjaya politiknya mengalami pasang-surut; dari skandal seks, pemecatan sebagai ahli parti hinggalah kepada kemenangan jawatan Timbalan Presiden dan terbaru, Presiden, tidak keterlaluan untuk melabelkan Soi Lek sebagai "the comeback kid". Nampaknya cahaya tuah lebih menyebelahi beliau.

Bagi mantan Presiden MCA, Tee Keat, beliau menjadi Presiden MCA kedua tersingkat, iaitu selama 17 bulan selepas seorang lagi Presiden MCA, Tan Koon Swan yang hanya bertahan selama 10 bulan.

Bezanya Koon Swan meletak jawatan selepas didapati terbabit dalam aktiviti rasuah sementara penyingkiran Tee Keat pula berpunca daripada sentimen negatif perwakilan dan power-play di belakang tabir seperti yang didakwa pihak tertentu.

Apa yang pasti, kemenangan bergaya Soi Lek pada persaingan jawatan Presiden bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ada yang melihat kemenangan Soi Lek itu sebagai kebangkitan semula beliau dalam politik parti. Ini kerana semenjak dari hari pertama lagi Soi Lek mengumumkan pencalonannya, pelbagai spekulasi dan cakap-cakap berlegar di media massa menyifatkan Soi Lek sebagai calon pilihan.

Soi Lek dilihat berada dalam kedudukan kukuh kerana beliau dikatakan mempunyai sokongan akar-umbi yang amat kuat. Tambahan pula, kehadiran penyokong setianya yang tidak berganjak dan masih bersama dengan beliau walaupun dalam detik-detik sukar menjadikan pengaruhnya sukar digugat.

Beliau juga digambarkan sebagai mangsa percaturan skandal seks oleh pihak berkepentingan dengan tujuan merosakkan reputasinya. Ini dapat dilihat dari segi jumlah undi yang diperolehi Soi Lek sebanyak 901 undi. Beliau turut memberitahu bahawa dirinya sudahpun bertaubat dan seharusnya diberi peluang untuk berkhidmat.

Sebelum bermulanya kempen dan proses pemilihan, perangkaan dalam beberapa buah akhbar meramalkan Soi Lek sudah mempunyai 900 undi kukuh sebelum bertandang ke medan tempur pada 28 Mac dan ternyata perangkaan tersebut menjadi kenyataan. Cengkaman Soi Lek dalam MCA semakin kukuh apabila hampir 70 hingga 80 peratus pengikutnya berjaya dipilih ke dalam jawatan jawatan Naib Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC). Dengan pengukuhan kedudukannya, bermakna segala agenda yang ingin dicanangkan dapat dilaksanakan dengan licin.

Namun begitu, apakah harga yang terpaksa dibayar MCA di sebalik kemenangan Soi Lek itu? Bagaimanakah reaksi dan sentimen masyarakat Tionghua dan rakyat umum di luar sana? Sejurus selepas keputusan pemilihan parti diumumkan, beberapa laman web portal sempat diakses dan mendapati kemenangan Soi Lek disambut dengan reaksi bercampur-campur.

Bagi kalangan perwakilan MCA mereka merasakan Soi Lek pemimpin berpengaruh yang mampu menyatupadukan semula parti yang berpecah. Tetapi perkara yang serupa tidak boleh diperkatakan kepada golongan rakyat marhaen.

Kalangan pembaca yang meninggalkan komen dalam artikel yang dipaparkan dengan kata-kata yang cukup emosi sambil menyifatkan pemilihan Soi Lek sebagai satu langkah keterbelakang dan merupakan detik-detik hitam dalam sejarah MCA. Tak kurang juga, ada beranggapan inilah saat-saat hitam yang mungkin menyaksikan berkuburlah MCA pada pilihan raya akan datang.

Malahan, pemilihan Soi Lek sebagai Presiden MCA adalah bertentangan dengan tinjauan pendapat, antaranya, oleh Merdeka Centre dan The Edge yang mendapati Tee Keat mendapat sokongan amat tinggi berbanding dua pencabarnya.

Masyarakat Tionghua sedang memerhatikan perkembangan ini dengan penuh minat. Mereka ingin tahu sejauh mana Presiden baru ini mampu membawa perubahan ke dalam MCA yang sudah lama dibelenggu semangat berpuak-puak. Ada yang berpendapat pemilihan Soi Lek sebagai Presiden menghantar satu mesej salah. Terpilihnya Soi Lek hanya mengukuhkan pandangan sinis umum bahawa pemimpin berskandal untuk menerajui sesebuah parti tidak menyalahi undang-undang. Malah, ia juga bererti skandal adalah dihalalkan.

Imej MCA di mata umum sudah pun tercalar teruk sebelum ini kerana kemelut yang tidak berkesudahan. Jika MCA sebelum ini terkenal dengan percakaran sesama pemimpin, kini pula gelaran tersebut pula berubah nama. Satu lagi senario menarik yang berkemungkinan berlaku di sebalik pemilihan Soi Lek sebagai Presiden MCA adalah kemungkinan Presiden MCA tidak akan diwakili dalam jemaah Menteri/Kabinet. Ketiadaan suara Presiden MCA bermakna kuranglah suara berpengaruh dalam pembuatan dasar kerajaan.

Sepanjang 61 tahun MCA hidup dan bernafas dalam persada politik negara, hanya seorang Presiden MCA iaitu Tan Koon Swan yang menjadi presiden parti sekitar 1985-1986 merupakan satu-satunya tokoh tertinggi parti yang tidak dilantik ke dalam Kabinet. Sebelum itu, dari era Tun Tan Cheng Lock, Tun Lim Chong Eu, Tun Tan Siew Sin, hinggalah ke era Tun Ling Liong Sik dan Tee Keat, kesemua mereka diwakili dalam Kabinet.

Setahu penulis, Soi Lek ada menyatakan beliau tidak akan menerima jawatan dalam Kabinet sekiranya terpilih. Seorang Presiden MCA yang tidak berada dalam Kabinet tidak mungkin dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ada bezanya jika suara rakyat diwakili seorang pemimpin atasan yang berpengaruh dengan seorang pemimpin parti peringkat bawahan.

Dalam pada itu, barisan kepimpinan MCA baru yang dipilih ini pada keseluruhannya tidak menunjukkan penonjolan pemimpin muda. Sebaliknya nama-nama lama seperti Dato' Donald Lim Siang Chai, Dato' Seri Dr Ng Yen Yen, Dato' Chor Chee Heung, Dato' Seri Tan Chai Ho, Dato' Seri Ong Ka Chuan, Dato' Paul Kong Sing Chu dan Dato' Chong Itt Chew terus mendominasi barisan kepimpinan.

Apakah kemunculan nama-nama lama ini merupakan satu khabar yang baik kepada parti? Pengalaman yang dimiliki mereka sudah tentu penting buat MCA tetapi sebuah parti politik yang tidak ada barisan pelapis yang kuat hanya mengundang malapetaka yang serius di kemudian hari.

Ke manakah perginya suara-suara orang muda dalam parti? Melainkan Timbalan Presiden MCA, Dato' Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pemuda MCA Dato' Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MCA yang baru, Gan Peng Sieu serta beberapa ahli CC lain seperti Yoo Wei How, Datuk Gan Tian Loo yang masih muda, lain-lain pemimpin semuanya adalah pemimpin lama.

Perkembangan ini bukanlah senario yang memberangsangkan buat MCA. Kekurangan barisan kepimpinan muda seolah-olah menggambarkan latihan kader yang diusahakan sejak sekian lama tidak mencapai matlamat yang diingini. Kekurangan suara-suara muda dalam parti hanya menyebabkan MCA tidak bermaya dan idea-idea baru tidak dapat diterapkan demi kebaikan parti.

Dengan tumbangnya Tee Keat, adakah agenda transformasi yang dipelopori beliau akan diteruskan oleh Soi Lek ataupun berkubur begitu sahaja? Apakah strategi khas yang akan digunakan Soi Lek dan barisan kepimpinannya untuk meraih semula kepercayaan masyarakat Tionghua yang sudah meluat dengan kemelut dalaman mereka?

Bagaimanakah Soi Lek dan barisan kepimpinannya dapat meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan mereka adalah yang terbaik dan mampu memperjuangkan hak-hak serta kepentingan mereka? Macam mana pula kepimpinan MCA baru ini akan dapat meyakinkan parti-parti komponen BN lain bahawa tidak akan berulang lagi kemelut dalaman sekali gus bersiap-sedia menghadapi PRU 13 nanti?

Natijahnya, MCA tidak mempunyai masa yang banyak untuk mempersiapkan diri menghadapi pengundi. Jika episod hitam kemelut MCA tersebut masih tidak dijadikan iktibar, jangan terkejut angin penolakan masyarakat Tionghua terhadap MCA akan menjadi lebih kuat selepas ini.

Tiada ulasan: