Khamis, 15 April 2010

Kekanda Sultan Kelantan buat laporan polis


TENGKU Merjan Tengku Yahya Petra membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis agar siasatan dijalankan terhadap Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Shukri Mohamad kerana didakwa membuat perancangan untuk merampas kuasa daripada Sultan.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Ampang Jaya di sini pada pukul 2 petang ini.

Tengku Merjan ketika ditemui berkata, beliau ada mendapat satu salinan cakera padat (CD) yang mengandungi percakapan antara Abdul Halim dan Shukri yang menunjukkan terdapat perancangan untuk menghasut, mengugut dan mencampuri urusan istana Kelantan bagi mewujudkan keadaan tidak stabil.

Beliau berkata, CD terbabit merupakan rakaman daripada perjumpaan tertutup anjuran Halim dan Shukri bersama wartawan bagi membincangkan mengenai isu Kesultanan Kelantan di Hotel Sutera Inn di Kota Bahru, Kelantan pada 10 Mac lalu.

Katanya, CD yang kini tersebar di Kelantan dikhuatiri boleh memberi imej buruk kepada Tuanku Ismail Petra dan mengelirukan rakyat terhadap istana Kelantan.

"Memandangkan mereka berniat jahat iaitu mahu menjatuhkan imej, memberi gambaran buruk dan mengelirukan rakyat terhadap istana Kelantan, maka saya memohon polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kedua-dua mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai kandungan CD terbabit, beliau berkata, ia menunjukkan bagaimana Abdul Halim dan Shukri membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan Sultan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti baginda.

Malah, katanya, dakwaan Shukri mengatakan beliau berkuasa melantik Sultan Kelantan dilihat memandang rendah kepada institusi Kesultanan Melayu.

Beliau berkata, mereka juga mencampuri urusan peribadi Sultan apabila membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian baginda dengan isteri kedua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika ditemui memberitahu, kes itu akan diserahkan kepada polis Kelantan untuk siasatan lanjut memandangkan kejadian yang dilaporkan berlaku di negeri berkenaan.

"Saya sahkan ada menerima laporan daripada Kekanda Sultan Kelantan meminta menyiasat Abdul Halim dan Shukri tetapi kita akan serahkan kes ini kepada polis Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tiada ulasan: