Khamis, 8 April 2010

Bung Mokhtar jadi ayah lagi?

KL POS.COM

Dramatis popular, Zizie Ezzete, yang kini hidup bahagia bersama suami tercinta yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, nampaknya masih mahu berteka-teki tentang desas-desus kehamilannya.

Zizie ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu, bagaimanapun tidak pula menafikan tentang perkara itu.

Namun, daripada reaksi jawapan yang diberi, Zizie seolah-olah masih belum sedia untuk menghebahkan perkara yang baik itu.

“Saya tak nak komen tentang perkara ini dan saya menyerahkan segala kemungkinan dan rezeki itu kepada ketentuan Tuhan,” kata Zizie yang ketika itu turut ditemani Bung Mokthar.

Tampil dengan pakaian sedondon berwarna merah jambu, kehadiran pasangan ini buat julung kalinya di majlis hiburan tanah air ternyata mencuri tumpuan ramai pihak.

Ditanya mengenai kehidupannya sekarang, anak kepada pelakon Kathy Fauziah ini memberitahu, kini dia lebih selesa menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Buat masa sekarang, saya lebih suka menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan rumah tangga dan menjalani kehidupan sehari-harian seperti biasa bersama suami tersayang.

“Tetapi, saya akur bahawa berasa gian untuk berlakon kembali itu kian menebal dan selepas ini saya akan kembali meneruskan karier saya kerana bagi saya bidang lakonan ini tidak akan berhenti separuh jalan,” katanya yang hampir empat bulan mendirikan rumah tangga bersama Bung Mokhtar.

Mengulas mengenai gambar-gambarnya bersama suami di sebuah kelab malam yang tersebar luas di Internet, sambil tersenyum Zizie berkata, dia tidak mahu mengambil pusing tentang perkara itu walaupun menyedari ada kata-kata sinis yang dilemparkan padanya.

“Bagi saya, ia adalah kehidupan saya dan saya tidak berasa bersalah selagi mana tidak melanggar batas.

“Selagi saya tidak mengganggu kehidupan orang lain, tidak menyimpan dendam, tidak mengata dan tidak mengacau kehidupan mereka, selagi itu saya tidak akan ambil pusing terhadap semua itu,” tegasnya.

Zizie berkata, meskipun ada segelintir pihak tidak menyenangi tindak-tanduknya, namun dia percaya masih ada peminat di luar sana yang sentiasa menyokongnya.

“Dengan sokongan daripada peminat, saya masih berada di sini malah, peminat telah menjadikan saya rasa diterima dan disenangi. Sekarang, saya rasa bersyukur kerana semuanya telah selesai dan saya tidak lagi rasa takut pada sesiapapun,” katanya yang pernah membintangi drama Suraya sebelum berehat seketika dari bidang lakonan./ Sinar Harian

Tiada ulasan: