BERNAMA
GUA MUSANG: Sayap Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang semalam meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Ketua Umno bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah kerana berceramah di atas pentas Kerajaan Pas berhubung isu royalti petroleum di Kelantan baru-baru ini.
Kedua-dua pergerakan itu menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh memberi impak tidak baik kepada Umno, selain mengeruhkan lagi keadaan.
Ketua Wanitanya, Datuk Wan Hazani Mohd Nor berkata, kenyataan dibuat bekas Pengerusi Petronas itu juga bertentangan dengan apa yang pernah beliau nyatakan ketika isu sama berlaku di Terengganu.
“Ku Li tidak menceritakan keadaan sebenar isu berkenaan seperti apa yang dinyatakan berhubung isu sama di Terengganu pada 10 tahun lalu.
“Kami kecewa dengan apa yang dilakukan Ku Li dan masih belum terlambat untuk pemimpin kami perbetulkan keadaan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, pada satu majlis di Kuala Krai, Pemuda Umno Kelantan mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) memanggil Tengku Razaleigh bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan beliau ketika ceramah itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Setiausahanya, Bazlan Baharuddin berkata, Tengku Razaleigh wajar menjelaskan tujuan beliau menyertai Kerajaan Kelantan mendesak Kerajaan Pusat memberikan royalti minyak kepada Kelantan.
“Pemuda berasa kecewa kerana pemimpin kami sanggup berbuat demikan tetapi apapun kami mahu penjelasan Ku Li,” katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang.
Seorang veteran Umno bahagian itu, Sharif Mahmood, 58, berkata tindakan Tengku Razaleigh itu menjadi bualan anggota Umno dan penduduk di sini.
Beliau berkata, Tengku Razaleigh sepatutnya menjadi orang tengah untuk menjernihkan keadaan dan bukannya minyak yang menyalakan api.
Katanya, anggota parti bahagian itu kini tertunggu-tunggu penjelasan Tengku Razaleigh mengenai perkara berkenaan.
Bagi pemilik kedai makan di Chiku 2 di sini, Abas Solihin, 42, dia kecewa dan terkejut dengan tindakan Tengku Razaleigh itu.
“Kami terkejut Ku Li sanggup diperkudakan pihak lain dan sebagai pemimpin yang kami hormati, janganlah kecewakan kami lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan