Selasa, 23 Februari 2010

JKTD: Zambry bohong tuduh PR tak panggil Adun BN

Harakahdaily


IPOH: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menafikan dakwaan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) sewaktu PR menguasai negeri.

"Saya menafikan, ini pembohongan yang besar. Kami ada bukti yang jelas. Kami tegaskan apa yang dikatakan Zambry adalah satu pengkhianatan dan pembohongan. Sewajarnya kita malu dengan MB yang berbohong," tegasnya dalam satu sidang media di pejabat PR, dekat sini pagi tadi.

Nizar yang juga Adun Pasir Panjang sebaliknya mengesahkan telah memberi surat pangggilan kepada Adun BN untuk hadir ke mesyuarat JKTD, dan ada di antara mereka yang hadir ke mesyuarat tersebut.

"Kita keluarkan surat kepada Pegawai Daerah, Pegawai Daerah memanggil semua Adun PR dan BN. Ada mereka yang hadir. Ini menunjukkan sifat ketelusan kami. Contohnya di Kerian, mereka tidak hadir, ini masalah mereka. Ini menunjukkan mereka diundang. Sifat PR kita undang dan jemput semua ADUN dan Ahli Parlimen," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu juga berkata, matlamat Pakatan Rakyat adalah memberi khidmat kepada semua rakyat dan berkerjasama dengan Zambry namun apa yang dikesalkan ialah respons negatif daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Zambry yang mengatakan tidak perlu ada kerjasama di antara BN dan PR di negeri itu."

"Semasa kita memerintah, semua rakyat boleh guna kemudahan rakyat seperti dewan, kemudahan awam dan sebagainya. Inilah kerjasama yang kita nak berikan tapi dinafikan. Begitu juga premis rakyat, tapi selepas Jawatankuasa Keselamatan kampung (JKKK) dipecat, mereka halang kita gunakan semua kemudahan itu," katanya.

Sementara itu, Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim berkata, keengganan Zambry untuk melantik Adun PR sebagai ahli mesyuarat JKTD membuktikan beliau takut dan tidak sanggup berdepan dengan Adun PR setiap kali bermesyuarat.

"Sebenarnya wakil Zambry dalam JKTD yang ada sekarang adalah tidak layak kerana tidak mewakili rakyat," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS negeri.

AdunTronoh, V. Sivakumar pula berkata, tindakan Adun BN mengadakan mesyuarat JKTD tanpa memanggil Adun Pakatan adalah tidak wajar dan menafikan hak mereka sebagai Adun yang juga bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

"JKTD penting kerana membincangkan masalah rakyat, dan apakah salahnya kami dijemput dan memberitahu apa saja masalahnya.

"Saya tidak faham kenapa perlu dibuat secara senyap-senyap semasa Adun BN. Inilah peluang semua wakil rakyat bertemu dengan semua pegawai kerajaan," tegasnya.

Tiada ulasan: