Selasa, 1 September 2009

Peserta sambutan kemerdekaan tidak perlu jalani ujian saringan H1N1

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Dataran Parlimen, yang menjadi lokasi sambutan ulang tahun ke-52 Kemerdekaan Negara, semalam, adalah kawasan terbuka dan tidak perlu diadakan saringan kesihatan bagi mencegah wabak Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keadaan adalah sebaliknya jika sesebuah perhimpunan itu diadakan di tempat yang tertutup yang akan memudahkan wabak itu merebak.

“Memang kita ada bagi mask (topeng) kepada peserta terutamanya pelajar, tempat ini ruang bebas bukan tertutup, kalau kawasan tertutup ada screening (saringan) lah. Bagaimanapun, kita ingatkan orang ramai supaya terus berhati-hati dengan wabak ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-52 di Dataran Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebanyakan peserta dan orang ramai yang menghadiri upacara sambutan itu dilihat tidak mengamalkan langkah pencegahan H1N1 seperti memakai penutup hidung dan mulut.

Mengenai pengusaha pengangkutan awam yang disarankan menyediakan sanitizer serta penutup hidung dan mulut kepada penumpang, Tiong Lai berkata, ia adalah galakan kerajaan dan bukan diwajibkan.

“Buat masa ini ia sebagai galakan, belum dapat laksanakan secara berwajib, pengusaha boleh bantu kerajaan bagi memerangi wabak ini.

“Kita perlukan sokongan semua pihak untuk menangani wabak ini, semua pihak perlu bertanggungjawab,” katanya.

Tiada ulasan: