Selasa, 1 September 2009

Perlu garis panduan bina rumah ibadat

SINAR HARIAN ONLINE


CHERAS - Semua bentuk pembinaan perlu ada garis panduan yang jelas tidak kiralah untuk pembinaan kuil ataupun masjid, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, garis panduan itu juga perlu digunapakai untuk semua bentuk pembinaan rumah ibadat termasuk untuk orang islam.

“Saya merasakan orang Islam perlu bersikap lebih rasional dalam hal ini, permasalahan pembinaan kuil ini bukanlah satu isu yang baru tetapi telah lama sejak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.:

“Isu ini menunjukkan kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikannya sehingga ia berbangkit ke hari ini,” katanya selepas majlis Sumbangan Hari Raya Pas Kawasan Bandar Tun Razak.

Katanya, umat Islam perlu menghormati toleransi penganut agama lain dan perlu menyerlahkan sikap tolak ansur seperti disarankan agama.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh buat protes kepada perkara yang mereka tidak setuju, tetapi perlulah dengan cara beretika dan bertamadun,” katanya.

Menurutnya, umat Islam seharusnya memperlihatkan memperlihatkan contoh terbaik dalam konteks perhubungan keagamaan.

”Kesediaan dan kesudian untuk duduk berbincang adalah jalan terbaik dengan mengetemukan kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurut beliau lagi, dengan cara ini menunjukkan lagi kemuliaan Islam dan orang Melayu.

Tiada ulasan: