Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR: Pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjejaskan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya kecil, kata Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.
Beliau berkata, Dr Mahathir tidak patut campur tangan dalam setiap pilihan raya kecil kerana pendapat beliau telah menjejaskan jentera pilihan raya BN semasa pilihan raya kecil berkenaan.
"Dr Mahathir tidak sepatutnya campur tangan dalam terlalu banyak perkara yang mungkin meletakkan BN dalam keadaan sukar," katanya.
Bekas Perdana Menteri sebelum ini berkata, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak patut diletakkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana beliau pernah digantung daripada Umno selama tiga tahun dari Jun 2005 atas dakwaan terbabit dengan politik wang.
"Hanya Perdana Menteri mempunyai kata putus mengenai siapa yang patut jadi calon (di Bagan Pinang)," kata Samy Vellu kepada Bernama semasa diminta mengulas kenyataan bekas Presiden Umno itu.
Pandangan Dr Mahathir, sekurang-kurangnya dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Permatang Pasir, dianggap amat menjejaskan kempen pilihan raya BN.
Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Dr Mahathir menyifatkan pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN "benar-benar pilihan yang sangat buruk".
Dalam pilihan raya Permatang Pasir pula, bekas Pengerusi BN itu berkata, "saya tidak tahu adakah orang seperti itu (calon BN dalam pilihan raya itu, Rohaizat Othman) layak untuk dipilih sebagai wakil rakyat atau tidak. Saya tak tahulah".
Dr Mahathir dan Samy Vellu masih lagi dilihat berperang kata setelah Dr Mahathir meminta masyarakat India menyingkirkan Samy Vellu jika mereka mahukan kemajuan dan melangkah ke hadapan.
Dalam tulisan di dalam blognya yang mengulas cadangan seorang perwakilan perhimpunan MIC supaya dikalungkan selipar pada gambarnya, Dr Mahathir mengingatkan MIC supaya tidak lupa bahawa tidak ada satu kerusi pilihan raya pun yang mempunyai majoriti pengundi berbangsa India.
"Tetapi untuk memastikan orang-orang India mempunyai suara di dalam kerajaan, BN memperuntukkan kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya adalah orang-orang Melayu kepada MIC dan memujuk mereka mengundi calon MIC.
"Pengundi Melayu tidak suka perkara itu tetapi para pemimpin Umno terpaksa memujuk mereka.
"Apabila MIC melakukan perkara-perkara yang menyukarkan para pengundi Melayu menyokong calon-calonnya, saya fikir adalah wajar bagi orang Melayu untuk mengkritik," katanya.
Dalam tulisan itu, Dr Mahathir sekali lagi membangkitkan bagaimana para pemimpin Umno mencerca beliau apabila beliau mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika itu, katanya, tidak ada mana-mana pihak yang mengecam para pemimpin Umno yang mencercanya.
"Mereka takut ia akan menyebabkan Perdana Menteri rasa tidak senang. Dalam kata-kata lain, mengutuk saya adalah sesuatu yang boleh diterima; ia bukan tanda tidak menghormati negara yang lebih tua.
"Kenapa pula berbeza sekarang (apabila para pemimpin Umno mengecam tindakan hendak mengalungkan selipar pada gambarnya)," kata Dr Mahathir. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan