Khamis, 17 September 2009

INKUES: Tiada Kecederaan Pada Tubuh Teoh Sebelum Disoal Siasat SPRM

TV SELANGOR


Prosiding inkues Teoh Beng Hock hari ini dimaklumkan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan pada tubuh badan sebelum soal siasat dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai SPRM, Mohd Nadzri Ibrahim, saksi ke-21 memberitahu, beliau tidak nampak apa-apa tanda atau kecederaan pada tubuh Setiausaha Politik Exco Selangor yang membolehkan Teoh berada dalam keadaan tertekan.

Nadzri berkata, beliau telah ditugaskan untuk merekod kenyataannya daripada 1.30 pagi sehingga 3.30 pagi dan berehat pada jam 2.30 pagi setelah Teoh meminta untuk ke tandas.

Menurutnya, Teoh berada dalam keadaan gelisah pada awal soal siasat dilakukan, tetapi kembali tenang pada pertengahan dan akhir prosiding berlangsung.

Ketika ditanya ada siapa yang masuk ketika sesi soal siasat berjalan, Nadzri menjawab hanya seorang pegawai iaitu Ketua Penyiasat SPRM Mohd Anuar Ismail yang masuk kira-kira jam 2 hingga 2.30 pagi.

Setelah mencatat rakaman percakapan Teoh, Mohd Nadzri berkata beliau menerima arahan daripada pihak atasan supaya meminta Teoh mendapatkan dokumen lanjut berhubung dengan siasatan kes penyalah gunaan wang peruntukan Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Nadzri berkata,:"Saya memaklumkan kepada dia bahawa dia boleh balik tetapi datang esok dengan membawa dokumen-dokumen lain.".

Saksi itu juga memberitahu bahawa selepas tamat soal siasat, Teoh telah meminta untuk berehat pada sebuah sofa dalam pejabat SPRM.

Menjawab soalan peguam wakil keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo, Mohd Nadzri berkata bahawa dia sedar dimana suspek-suspek telah diserang semasa sesi soal siasat dilakukan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna peruntukan ADUN kepada SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: