Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Oktober ini dengan hari penamaan calon ditetapkan 3 Oktober.
Tarikh diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuarat khas di sini sebentar tadi.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 September lalu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam sidang medianya pagi Isnin berkata, pihaknya memberi jaminan pengundian secara pos akan dilakukan secara telus.
"Tidak mungkin akan ada penipuan dalam pengundian pos memandangkan syarat-syarat ketat yang dilaksanakan semasa proses pengundian," ujarnya.
Info pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:
Pusat penamaan calon dan pejumlahan rasmi undi: Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Tempat proses pengeluaran dan pengiraan undi: Bilik mesyuarat pejabat daerah Port Dickson.
Tarikh daftar pemilih dikemas kini: 4 September 2009
Jumlah pemilih berdaftar: 13 664 orang
Jumlah pemilih biasa: 9060 orang
Jumlah pemilih pos: 4604 orang
Jumlah pusat mengundi: 8
Jumlah saluran mengundi: 18
Jumlah petugas SPR: 275 orang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan