pemudasarawak / BERNAMA
KUALA LUMPUR — Bekas rakan kongsi Rohaizat Othman, Yusri Isahak Ahad menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang ganjaran atau habuan untuk melakukan sidang media baru-baru ini mengenai urusan firma guaman mereka.
Yusri, 39, berkata tujuan sidang medianya di Bukit Mertajam pada 20 Ogos lepas hanyalah untuk membersihkan namanya yang tercemar ekoran dakwaan beberapa individu yang menuduhnya menggelap dan menyalahgunakan wang syarikat.
“Niat saya bukanlah untuk menjatuhkan Rohaizat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, tetapi isu mengenai urusan wang syarikat itu perlu ditanggung oleh Rohaizat juga,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Grand Seasons di sini.
Beliau mendakwa dirinya ‘dikambinghitamkan’ berhubung kes membabitkan pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002 serta isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat.
Yusri pernah menjadi rakan kongsi Rohaizat selama lima tahun mulai 1999 dan berkata semua urusan firma guaman mereka dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.
Kini Yusri bekerja sebagai ahli perniagaan dan tidak lagi menjadi pengamal undang-undang walaupun lesen guaman sivilnya tidak dibatalkan tetapi tidak diperbaharui sejak 2004.
Sehubungan itu, beliau kesal kerana kenyataannya yang bertujuan untuk mempertahankan diri, telah dijadikan modal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghentam serta memburuk-burukkan calon BN Permatang Pasir itu.
Yusri yang mengenali Rohaizat sejak 1989 ketika belajar di universiti yang sama berkata, beliau tidak akan membenarkan sebarang dakwaan tidak berasas dibuat terhadap Rohaizat semata-mata untuk kepentingan politik.
Katanya, semua kenyataan media yang dilakukan sebelum ini bukanlah didorong oleh mana-mana individu atau parti politik dan berharap orang ramai memahami keadaan sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan