UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Zahra Masoumah Abdul Halim, 17, yang memulakan renangan merentasi Selat Inggeris pada pukul 6.07 pagi ini (1.07 petang waktu tempatan) berjaya memasuki perairan Perancis selepas lapan jam mengharungi gelora selat tersebut.
Perenang muda yang bakal memahat namanya sebagai wanita Malaysia pertama menakluk selat itu bagaimanapun masih perlu menghabiskan lebih separuh daripada jarak renangan apabila memasuki perairan Perancis pada pukul 9 malam (waktu tempatan).
Hasrat Zahra Masoumah yang menyasarkan untuk menamatkan misinya dalam masa 14 jam mungkin sukar kerana terpaksa berdepan suhu air yang sejuk antara 12-16 darjah celcius dan tiupan angin kencang.
Ekoran itu, Zahra Masoumah dijangka menghabiskan renangannya lewat sehari, menurut Thestar Online hari ini.
Turut hadir menyaksikan keberanian gadis tersebut ialah Pemerhati dari Channel Swimming & Piloting Federation (CS&PF).
Selain itu, hadir sama memberi sokongan ialah bapanya, Abdul Halim Manaf, jurulatih Arof Amar dan Pengerusi Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B) Muqharabbin Mokhtarudin yang mengiringi renangan Zahra Masoumah menggunakan bot.
"Kami telah bertolak awal sebelum air pasang," kata jurupandu, Paul Formeman yang membawa perenang itu dari pelabuhan ke pantai tempat dia berlepas pagi tadi.
Sementara itu, Zahra Masoumah dalam perbualan telefon beberapa jam sebelum memulakan renangan berharap rakyat Malaysia akan mendoakan dia berjaya merentasi Selat Inggeris tersebut.
"Saya sangat teruja dan gementar tapi saya yakin mampu melakukannya," katanya merujuk kepada perenang Mexico yang pernah menarik diri selepas berenang selama 11 jam.
Dalam pada itu, ibunya, Haniza Mohamed berkata, beliau telah menasihatkan anaknya supaya tenang dan yakin anaknya mampu melakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan