Oleh WAN SYAMSUL AMLY
KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini diminta tidak terlalu bimbang terhadap saranan penangguhan ibadah haji kepada warga tua, golongan sakit dan kurang sihat oleh kerajaan Arab Saudi ekoran usaha negara itu untuk menghalang penyebaran wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, saranan itu dianggap biasa dalam usaha kerajaan negara itu membasmi wabak tersebut.
Lagipun, katanya, Malaysia tidak tersenarai dalam kes kematian akibat wabak itu.
''Justeru, kita minta rakyat negara ini agar tidak bimbang kerana kenyataan itu hanya dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan mereka. Itu hanya pandangan dan saranan, kita rasa ia tidak cukup 'kuat' untuk menangguhkan perjalanan haji terhadap rakyat negara ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabeeah di Jeddah semalam, yang meminta warga tua, golongan sakit dan kurang sihat menangguhkan hajat untuk menunaikan haji ekoran penyebaran H1N1.
Tambah Abdullah, semua jemaah haji diminta mengambil vaksin selesema selagi vaksin baru H1N1 masih belum ditemui sebelum berlepas ke Arab Saudi.
Kira-kira tiga juta jemaah haji dari 160 negara menunaikan ibadah haji di kota Mekah pada setiap tahun.
Jamil Khir berkata, sebarang keputusan mengenai penangguhan haji hanya boleh 'diikut' seandainya dikeluarkan oleh Menteri Wakaf dan Haji Arab Saudi sahaja.
''Kita akan ikut jika arahan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan. Kita tidak nampak relevan menghalang hanya warga tua, sakit dan berkenaan sahaja untuk menangguhkan ibadat haji.
''Ia wabak yang menyerang semua tidak kira usia, jadi rakyat tidak perlu bimbang tentang spekulasi yang timbul mengenai isu haji ini,'' ujarnya.
Katanya lagi, agensi haji juga tentu sudah membuat persiapan selengkapnya termasuk menempah hotel untuk jemaah berkenaan pada akhir tahun ini.
Jelas beliau, sebarang penangguhan menunaikan haji tentu 'mencacatkan' pelbagai persiapan dan merumitkan pengurusan agensi haji berkenaan untuk menarik semula penempahan yang sudah dibuat.
''Kita yakin persiapan untuk akhir tahun ini sudah dilakukan dan tentu sebarang penangguhan bakal menimbulkan masalah kepada agensi berkenaan,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan