Jimadie Shah Othman
Tindakan wartawan Al-Islam menyamar dan memasuki gereja bagi menyiasat dakwaan kes murtad merupakan tindakan yang tidak beretika dan merupakan "kewartawanan yang buruk" (bad journalisme), kata Pakatan Wartawan untuk Kebebasan Media (WAMI).
"Ia kewartawanan yang tidak beretika. Penyamaran (undercover) sepatunya menjadi tindakan terakhir.
"Ia menunjukkan penghinaan kepada gereja, dengan mengambil bahagian dalam aktivitinya, kemudian memuntahkan kembali roti. Itu tidak beretika," kata pengerusinya Wong Chin Huat.
Wong diminta mengulas tindakan wartawan Muhd Ridwan Abdul Jalil yang menyamar sebagai penganut Katolik dan mengikuti acara keagamaannya bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.
Pengalaman mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur - termasuk memakan roti suci yang disuapkan paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar - diceritakan kembali dalam majalah tersebut Mei lalu.
Bagaimanapun, artikel berjudul "Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad" itu menimbulkan rasa tidak puas hati dua penganut kristian, Joachim Francis Xavier dan rakannya Sudhagaran Stanley yang membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.
Mereka dilaporkan berkata, tindakan wartawan lelaki tersebut juga dianggap menghina Katholik dan berprovokasi.
'Hak dan kebebasan bersuara'
Mengulas soal kewartawanan yang buruk,Wong berkata, wartawan berkenaan sepatutnya mengumpul bukti terhadap setiap tuduhan dan mendapatkankan penjelasan gereja berkenaan terlebih dahulu, bukannya menyamar bagi mendapatkan bahan berita.
"Niatnya hendak menyiasat ok. Tetapi caranya itu menyebabkan dia tidak layak digelar wartawan. Ia memalukan diri sendiri dan majalah tersebut.
"Ini bukan persoalan agama, tetapi kewartawanan yang buruk. Seluruh ahli sidang redaksi (Al-Islam) patut menjawab tindakan ini," kata penyarah sains politik itu.
Beliau juga berkata, tindakan wartawan tersebut tidak selari dengan hak dan kebebasan bersuara dalam menulis.
"Ini bukan kebebasan media, ini tidak beretika. Laporan macam ini bagaimana nak dipertahankan?" soalnya.
Sementara editor kanan sebuah akhbar ketika dihubungi berkata, amalan wartawan di majalah terbitan Utusan Melayu Sdn Bhd itu merupakan tindakan yang tidak patut diamalkan sebagai seorang wartawan.
"Tak patut. Itu rumah ibadat agama lain," katanya sambil menyifatkan tindakan itu telah menyentuh sensitiviti agama lain.
Wartawan terbabit dan editornya ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kontroversi kes tersebut buat masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan