Isnin, 13 Julai 2009

RazakSAT dilancar Selasa

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Inovatif kebanggaan Malaysia, satelit RazakSAT, sudah bersiap sedia untuk dilancarkan mengikut jadual, Selasa ini dari Kwajalein Atoll di Republik Marshall Islands.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan pegawai kanan kementerian itu tiba di Guam, semalam untuk menyaksikan pelancaran bersejarah satelit itu menerusi siaran langsung yang disiarkan laman web.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu semalam menyebut, sebaik tiba, Maximus bersama delegasinya diberi taklimat berhubung persiapan pelancaran itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB), Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Satelit RazakSAT bersama kenderaan pelancarnya, Falcon 1, yang dikendalikan oleh Space Explortion Technologies Amerika (SpaceX) ketika ini ditempatkan di tapak pelancaran di Pulau Omelek.

Satelit penderiaan jauh seberat 180 kilogram itu direka, dibangun, dibina dan diuji secara tempatan dan ia juga satelit penderiaan jauh pertama yang akan mengorbit khatulistiwa.

Satelit yang mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu akan mengorbit Near Equator Orbit (NEqO) pada altitud nominal 685 kilometer (km).

Lokasi orbit akan membolehkan peningkatan kekerapan pemerhatian imej permukaan bumi dan alam sekitar.

RazakSAT akan membawa kamera resolusi tinggi yang akan merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian tepat, memeta landskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan bandar, yang bukan saja memberi manfaat kepada Malaysia, tapi juga kepada negara lain yang terletak di sekitar garisan khatulistiwa. Imej itu juga boleh digunakan untuk mengkaji pelbagai fenomena meteorologikal.

"Saya berpuas hati dengan persiapan dan langkah perlu yang diambil oleh ATSB dan SpaceX bagi memastikan pelancaran yang lancar. Kami harap semua rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan pelancaran RazakSAT ini," kata Ongkili.

Tiada ulasan: