UTUSAN ONLINE
SHAH ALAM - Polis sehingga malam ini mengklasifikasikan kematian Teoh Beng Hock, 30, yang ditemui di atas koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini petang ini sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan empat pakar patologi daripada tiga buah hospital untuk mengetahui punca kematian.
Katanya, empat pakar itu iaitu dua pakar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), seorang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seorang lagi dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak agar tidak membuat spekulasi kerana siasatan akan dijalankan secara adil dan menyeluruh.
Beliau juga enggan mengulas lanjut sama ada hasil siasatan awal pihaknya mendapati wujud perkara meragukan sebaliknya bertegas mahu menunggu laporan Unit Patologi.
"Kita akan menunggu laporan Unit Patologi mengenai punca kematian selain jika wujud perkara-perkara yang meragukan.
"Kita juga membenarkan keluarga mangsa menyediakan pakar patologi sendiri supaya tidak timbul kecurigaan pada masa hadapan, namun mereka gagal setelah diberi masa sejak pukul 6 petang," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu, polis juga masih tidak dapat memastikan bagaimana keadaan dan lokasi sebenar mangsa terjatuh.
"Mangsa ditemui oleh seorang tukang cuci bangunan itu kira-kira pukul 1.30 petang dan pihak polis kemudian bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Forensik setelah dilaporkan oleh Bilik Gerakan Polis.
"Setelah Unit Forensik menjalankan siasatan selama lima jam mulai pukul 4 petang, mayatnya kemudian dihantar ke HTAR untuk bedah siasat selepas keluarga mangsa diberi peluang melihat mendiang," jelas beliau.
Dalam pada itu Khalid berkata, polis sudah mengambil keterangan lebih lima kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan kes kematian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan