Oleh Baharom Bakar
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu, sebuah Sekolah Menengah di daerah Dungun, membuat laporan polis selepas adegan dia dibelasah rakan karib secara paksa dalam satu kejadian bulan lalu disebar secara meluas melalui internet dan telefon bimbit.
Mangsa berusia 13 tahun itu membuat laporan polis kerana malu apabila adegan bergusti secara paksa dirakamkan tiga pelajar perempuan lain terus disebarkan melalui telefon bimbit, walaupun kejadian terbabit berlaku pertengahan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan itu dan kertas laporan berkenaan akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut.
Katanya, berdasarkan laporan kejadian berlaku ketika mangsa yang baru pulang dari sekolah tiba-tiba didatangi tiga rakan sekolahnya pada 18 Jun lalu, kira-kira jam 2.30 petang.
"Seorang daripada pelajar perempuan itu mengajaknya keluar dengan menaiki sebuah motosikal. Apabila tiba berhampiran sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, tiga perempuan yang juga dari sekolah mangsa terus bertindak menampar, menumbuk muka dan menyepak mangsa," katanya.
Zamri berkata, perempuan itu juga memaksa mangsa supaya bergusti dengan rakan baiknya yang turut berada di tempat kejadian.
Katanya, pelajar perempuan itu mengugut akan terus menampar, menumbuk dan menyepak jika mangsa enggan mematuhi arahan.
"Disebabkan bimbang akan terus dicederakan, mangsa terpaksa bergusti dengan rakan karibnya dan adegan itu dirakam tiga pelajar terbabit menggunakan telefon bimbit," katanya.
Zamri berkata, mangsa juga tidak melaporkan kejadian itu kepada guru sekolah dan kedua ibu bapanya kerana bimbang akan keselamatannya.
Katanya, kejadian mangsa dibelasah tiga pelajar perempuan itu hanya diketahui kakaknya selepas dimaklumkan beberapa rakannya yang menyaksikan kejadian itu melalui internet.
"Kakak mangsa kemudiannya membawa adiknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.30 pagi semalam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan