Isnin, 13 Julai 2009

Nik Aziz istihar esok cuti!

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Semua kakitangan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta yang bertugas di negeri ini mendapat 'cuti am' esok (14 Julai 2009) yang diambil atas 'Cuti Peristiwa'.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan perkara itu di pejabatnya kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.

"Setelah menghalusi dan mempertimbangkan keadaan hari pembuangan undi pilihan raya kecil Manek Urai yang barangkali dilihat sedikit tidak cermat, yang jatuhnya pada hari bekerja dan boleh menimbulkan banyak kesulitan, maka bersifat simpati kepada para pengundi dan anggota keluarga terlibat, saya bercadang untuk mengistiharkan 14 Julai sebagai cuti am bagi seluruh negeri Kelantan,"ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, dalam semangat pro demokrasi kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian.

Katanya, cuti berkenaan diambil mengikut peruntukkan undang-undang kerajaan negeri, iaitu atas 'cuti peristiwa' di samping mendapat rungutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya pengundi sendiri.

Tambahnya, sebelum ini beliau mendapat maklumat Kerajaan Pulau Pinang turut mengisytiharkan cuti yang sama bagi menghadapi pilihan raya kecil di negeri itu baru-baru ini yang juga jatuhnya pada hari bekerja.

Sambungnya, walaupun pilihan raya hanya diadakan di Dun Manek Urai, tetapi terdapat ramai juga pengundi yang berada di luar Kelantan, termasuk luar jajahan di samping.

"Lagipun ada juga pengundi di Dun Manek Urai terdiri dari pegawai kerajaan, oleh yang demikian bagi mengurangkan kesulitan mereka, kita mengisytiharkan cuti tersebut,"katanya.

Sambungnya lagi, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan hari pengundian jatuh pada hari bekerja begitu pelik berbanding sebelum ini pilihan raya diadakan pada hari Sabtu.

"Saya pun tak tahu kenapa SPR buat cuti pada hari bekerja dan bukannya hari Sabtu sebagaimana biasa,"ujarnya lagi.

Menyentuh tentang cuti am itu bakal menjadi rungutan khususnya bagi pihak swasta, beliau berkata,"yalah takkanlah pihak majikan nak kira untungnya sahaja,"ujarnya lagi. - mks. _

Tiada ulasan: