Rabu, 8 Julai 2009

Banglo: Mohd. Khir mahu saman Suee Lim

UTUSAN ONLINE

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo akan menfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim esok.

Beliau berkata, tindakan itu akan dibuat menerusi peguamnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana Suee Lim membuat kenyataan yang tidak benar menerusi media berhubung isu banglo miliknya yang didakwa berharga RM24 juta di Seksyen 7, di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh masa saman itu akan difailkan di mahkamah berkenaan.

''Saya akan ambil tindakan saman terhadap beliau (Suee Lim) kerana membuat dakwaan yang berbohong.

''Peguam saya akan drafkan surat mengenai perkara ini dan failkan di mahkamah esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Suee Lim semalam mengenai kos banglo itu yang disiarkan oleh media.

Suee Lim mendakwa, jumlah itu tidak mungkin mampu dibiayai oleh Mohd. Khir melalui pendapatannya selama lapan tahun sebagai Menteri Besar.

Mohd. Khir semalam telah pun menjelaskan bahawa kos banglo itu termasuk sebidang tanah lapang seluas 0.1 hektar berhampiran kediaman itu berjumlah RM3.5 juta dibeli dalam bentuk pinjaman perumahan dengan HSBC Bank untuk tempoh 30 tahun.

Menurut Khir, ketika pembelian itu dibuat, banglo berkenaan telah pun dibina oleh pemilik asalnya manakala beliau hanya mengubahsuai menggunakan sumber kewangannya sendiri

Tiada ulasan: