Isnin, 2 Mac 2009

200 piket bantah Syabas potong bekalan air

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Kira-kira 200 penduduk Pangsapuri Flora, Damansara berpiket secara aman membantah pemotongan bekalan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di kediaman mereka semalam.

Menurut agensi berita Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Abdul Hakim Amir dilaporkan berkata pemotongan bekalan air itu dibuat oleh Syabas sejak pagi semalam terhadap empat blok pangsapuri itu tanpa sebarang notis pemberitahuan.

"Empat blok pangsapuri yang telah dipotong bekalan air ialah blok D, E, F, H, manakala dua blok lain iaitu blok A dan B tidak mempunyai masalah ini.

"Apa yang dikesalkan tidak ada sebarang notis dikeluarkan dari pihak Syabas mahupun pihak pengurusan berhubung isu berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata punca pemotongan air itu adalah disebabkan ada tunggakan yang tidak dilangsaikan oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan kepada Syabas.

"Kami difahamkan Syabas memotong bekalan air ke atas empat blok ini kerana ada tunggakan lebih setengah juta ringgit yang tidak dilangsaikan. Mungkin ada sesetengah penduduk yang tidak membayar bil air mereka, tetapi ini tidak adil bagi kami yang telah membuat pembayaran," katanya.

Abdul Hakim berkata penduduk pangsapuri membuat bayaran melalui pihak pengurusan pangsapuri itu dan tidak terus kepada Syabas kerana ketiadaan meter individu.

"Jadi bila ada tunggakan dan pemotongan bekalan air dibuat, ini secara langsung akan membabitkan kediaman semua penghuni," kata Abdul Hakim.

Beliau berkata penduduk cuba menghubungi pihak pengurusan iaitu Allied Group Property Services Sdn Bhd, tetapi gagal.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat dan Hal Ehwal Semasa Syabas Abdul Halem Mat Som ketika dihubungi berkata pemotongan itu terpaksa dilakukan berikutan tiada pembayaran dibuat oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan dalam tempoh beberapa bulan lepas.

"Kami menggalakkan penduduk menukar kepada meter individu bagi memudahkan mereka membayar bil air terus kepada Syabas untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.-azm _

1 ulasan:

Unknown berkata...

Di harap KDEB & MB Tan Sri Khalid dapat memepercepatkan pengambilan SYABAS & syarikat Konsesi Rawatan Air supaya rakyat dapat menikmati 'Air Percuma' dalam kegawatan ekonomi sekarang. Siasat sedalam2 hingga ke lubang cacing perjanjian Kontrak Air di antara kerajaan BN (yg melampau) dgn Syabas. Kesian saya lihat penduduk Flora Damansara yang terputus bekalan AIR sehinggakan 'Surau' pun tiada Air.

Ingatlah Air Anugerah TUHAN.