Sabtu, 19 September 2020

Tentera laut Thai jadikan Malaysia alasan beli kapal selam, kata pakar

Berdasarkan syarat perjanjian kerajaan dengan kerajaan, sebuah konglomerat pembinaan 
kapal milik kerajaan China akan membina dan menjual 3 kapal selam pada harga 2 atau 
36 bilion baht (AS$1.16 bilion). (Gambar fail)

PETALING JAYA: Malaysia dijadikan alasan oleh tentera laut Thailand untuk mendesak pembelian 3 kapal selam China, kata pakar pertahanan.

Lam Choong Wah, bekas felo Institut Kajian Kemajuan Sosial, berkata Malaysia tidak mempunyai konflik besar dengan Thailand berhubung perjanjian pembangunan bersama di Teluk Thailand dan kedua-dua negara mungkin melanjutkan perjanjian itu selepas ia tamat tempoh.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan percaya tentera laut Thailand menggunakan Malaysia mewajarkan pembelian kapal selam mereka kerana krisis Covid-19 menjejaskan ekonomi negara itu dan ramai yang menganggap perbelanjaan untuk pertahanan tidak penting.

Dua pakar itu berkata demikian susulan laporan South China Morning Post yang tentera laut Thailand berhasrat membeli 3 kapal selam serangan buatan China.

Laporan itu memetik ketua Jabatan Operasi tentera laut Thailand sebagai berkata, negara itu akan mempunyai lebih banyak kuasa tawar-menawar ketika memulakan rundingan dengan Malaysia berhubung perjanjian pembangunan bersama itu.

Lam Choong Wah

Perjanjian itu akan berakhir 2029, tetapi Lam memberitahu FMT kedua-dua negara mungkin melanjutkan perjanjian itu.

“Malaysia dan Thailand berkongsi manfaat 50:50, yang bermakna tiada pihak didiskriminasi dan kedua-dua negara sangat gembira dengan persetujuan ini.

“Oleh itu, tiada alasan menggantikan perjanjian yang baik ini dengan perjanjian kurang memuaskan.”

Lam berkata, diplomasi paksaan bertentangan prinsip Asean, dan diplomasi kapal selam tidak akan digunakan sebagai kelebihan untuk rundingan itu.

Azmi Hassan

Azmi Hassan pula berkata: “Memang benar setiap negara yang mempunyai wilayah maritim memerlukan kapal selam sebagai kedudukan pertahanan strategik, lebih-lebih lagi Malaysia memiliki 2, tetapi untuk berbuat demikian sekarang bukanlah masa tepat bagi Thailand”.

Menurut laporan itu, Thailand memilih kapal selam China selepas mempertimbangkan tawaran dari Jerman, Korea Selatan, Rusia, Sweden dan Perancis.

Berdasarkan syarat perjanjian kerajaan dengan kerajaan, sebuah konglomerat pembinaan kapal milik kerajaan China akan membina dan menjual 3 kapal selam itu pada harga 2 atau 36 bilion baht (AS$1.16 bilion), menurut laporan itu.

Ditanya jika Malaysia perlu menambah armada tentera lautnya, Azmi berkata: “Bukan secara ad hoc untuk melawan kapal selam baru Thailand. Sekarang bukan masa terbaik untuk menaik taraf walaupun wujud isu Laut China Selatan.”

Aruna Gopinath, bekas pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional, berkata Malaysia perlu mengkaji untuk meningkatkan kekuatannya di laut dan udara.

“Kita tidak boleh dilihat menguruskan peralatan usang.

Tiada ulasan: