Sabtu, 12 September 2020

Suami maut, MPV terbabas dalam longkang

Noor Hidayah Tanzizi
 
Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan yang menyebabkan mangsa maut manakala isteri dan tiga anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki lima beranak itu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, hari ini.  FOTO IHSAN JBPM

Sitiawan: Lelaki maut manakala isteri dan empat anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.20 pagi itu, mangsa, Mohd Tarmimi Taha, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati Proton Exora dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Koh menghala ke Ayer Tawar.

Menurutnya, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang menyebabkan pemandu parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isteri mangsa berusia 35 tahun dan tiga anaknya hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan.

"Mayat mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dikejarkan ke lokasi untuk bantuan.

Katanya, mereka menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: