Selasa, 22 September 2020

Semburan kabus ajar nyamuk “bersembunyi” dalam rumah .

MALAYSIA GAZETTE
MGF21042020_SEMBUR-DENGGI06-681x454
Foto hiasan

PULAU PINANG – Kes demam denggi tetap meningkat walaupun semburan kabus dilakukan dengan giat oleh pihak berkuasa kerana nyamuk semakin bijak untuk mengelakkan tempat penyemburan.

Pakar kawalan nyamuk, Dr. Lee Yean Wang berkata, dalam tempoh 20 tahun, nyamuk telah belajar untuk “bersembunyi” di dalam premis dan rumah.

Katanya, disebabkan perubahan cuaca dan juga penyemburan kabus di luar, tabiat nyamuk juga mengalami pertukaran iaitu daripada “menggigit di luar” menjadi “menggigit di dalam.” .

“Kerajaan mula melakukan penyemburan kabus secara besar-besaran kira-kira 20 tahun lalu, tetapi ia juga menyebabkan perubahan tabiat nyamuk yang belajar untuk mengelak.

“Penyemburan kabus dilakukan di luar, manakala nyamuk akan bertukar untuk aktif di dalam rumah yang dianggap lebih selamat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Jelasnya, satu kitaran telah wujud di Asia Tenggara iaitu kes demam denggi akan meningkat jika sambutan kabus dilakukan.

Katanya, walaupun pegawai kerajaan sedar semburan kabus bukan kaedah paling berkesan, tetapi ia merupakan satu-satunya langkah yang boleh diambil pihak berkuasa.

Menurutnya, pihak berkuasa meminta penghuni membuka tingkap dan pintu semasa semburan kabus dilakukan, tetapi ramai yang mengingkari kerana tidak mahu membersihkan kesan semburan yang dianggap berminyak dan bertoksik.

Mengenai kesan perubahan cuaca pula, Yean Wang berkata, nyamuk Aedes aktif menggigit dalam persekitaran yang mempunyai tahap kelembapan 65 hingga 85 peratus dan suhu 26 hingga 28 darjah Celsius.

“Disebabkan perubahan cuaca, suhu di luar kini boleh mencecah 32 hingga 36 darjah Celsius selain menjadi lebih kering.

“Keadaan ini menyebabkan keadaan dalam rumah lebih sesuai untuk menjadi tempat aktif nyamuk menggigit,” katanya.

Ujarnya lagi, nyamuk paling aktif menggigit apabila terdapat hujan kecil dan singkat pada pagi manakala tiada hujan pada malam.

“Jika berlaku hujan lebat dan masa hujan adalah panjang, maka kes demam denggi akan berkurangan.

“Keadaan ini berlaku kerana tahap kelembapan dan suhu akan menyebabkan nyamuk tidak aktif menggigit,” katanya.

Tambahnya, air hujan juga akan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, sekali gus mengurangkan kes demam denggi.

Beliau juga memberitahu bahawa suhu di luar pada 33 hingga 34 Celsius memberi “tekanan keselamatan” kepada nyamuk dan serangga itu akan berusaha untuk membiak sebelum menemui ajal selepas mengesan ancaman cuaca. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: