Ahad, 13 September 2020

Restoran dan kedai serbaneka di Selangor beroperasi hingga 2 pagi

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
NG SZE HAN

SHAH ALAM: Semua restoran dan kedai serbaneka di negeri ini dibenarkan beroperasi sehingga pukul 2 pagi.

Waktu operasi perniagaan itu dilanjutkan selaras dengan kebenaran yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, kes Covid-19 di negeri Selangor dalam keadaan terkawal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tiba masanya untuk menangani dan memulihkan ekonomi. Bagaimanapun, pencegahan penularan Covid-19 masih merupakan keutamaan kerajaan negeri.

“Selain itu, para pengunjung dan pengusaha diingati supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sepanjang PKP Pemulihan (PKPP)yang berakhir hujung Ogos lalu, kedai serbaneka,restoran, gerai makan dan semua perniagaan menjual makanan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam.

Baru-baru ini juga, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

mengumumkan waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga 2 pagi di bawah PKPP yang dijadualkan berakhir 31 Disember tahun ini.-UTUSAN

Tiada ulasan: