Rabu, 16 September 2020

Pengawal keselamatan maut dihempap pokok

Oleh KHAIRUL MOHD ALI
PONDOK keselamatan yang musnah akibat dihempap sebatang pokok 
tumbang di Taman Pelangi Indah, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan maut dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam satu kejadian di Taman Pelangi Indah di sini hari ini.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Amir Muhammad, 40, sedang bertugas di dalam sebuah pondok keselamatan di kawasan perumahan terlibat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Jasni Saidin berkata, pondok keselamatan didudukinya itu kemudian dihempap sebatang pokok yang tumbang kerana ribut kuat awal pagi ini.

“Mangsa ketika itu sedang bertugas dan berada di dalam pondok keselamatan. 

“Sebatang pokok yang berada berhampiran tumbang dan menghempap pondok tersebut. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Katanya lagi, seramai 13 pegawai dan anggota beserta dua jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.44 pagi. 

“Pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas iaitu ‘chainsaw’ untuk memotong pokok yang tumbang berkenaan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau memaklumkan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN

Tiada ulasan: