Sabtu, 19 September 2020

Negeri Sembilan mahu denda kesalahan buang sisa ke sungai dinaikkan RM2j

 Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mencemar duli melakukan gimik pelancaran program World Cleanup Day Peringkat Negeri Sembilan dan Pelancaran Kempen Negeri Sembilan Bersih di Taman Malaysia, Seremban hari ini. Turut kelihatan Aminuddin Harun (dua dari kanan). - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

SEREMBAN: Sudah tiba masa denda terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melepaskan sisa buangan ke perairan daratan dan perairan Malaysia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dinaikkan daripada RM500,000 ketika ini kepada RM2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, saranan itu mengambil kira beban kos tinggi terpaksa ditanggung syarikat pembekal air dan agensi yang terbabit serta kesengsaraan dialami orang ramai setiap kali loji rawatan air terpaksa ditutup serta gangguan bekalan air berlaku.

“Pembuangan sisa industri atau buangan terjadual ke dalam sungai di Selangor baru-baru ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Di Negeri Sembilan pada 2019 dan 2020 telah ada tiga kejadian serupa melibatkan pembuangan sisa industri atau buangan terjadual ke dalam sungai daripada lori.

“Dua daripada kejadian ini menyebabkan loji rawatan air Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) terpaksa ditutup mengakibatkan gangguan bekalan air melebihi tempoh 24 jam di beberapa kawasan. Kos pembersihan sungai yang terlibat dalam kes ini mencecah lebih daripada RM200,000 tidak termasuk gaji pekerja, kos penghantaran air ke lokasi yang terjejas serta kerugian hasil kepada SAINS sendiri akibat terputusnya bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis World Cleanup Day Peringkat Negeri Sembilan dan Pelancaran Kempen Negeri Sembilan Bersih di Taman Malaysia dekat sini hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli hadir dan melancarkan majlis berkenaan. Baginda turut diiringi, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Yang hadir sama,Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Menurut Aminuddin, bagi mengelakkan berlaku kejadian pencemaran sungai, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif memberi ganjaran kepada pemberi maklumat termasuk mengenai aktiviti pembuangan sisa industri.

“Kerajaan negeri dalam konteks kebersihan ini menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat tentang pembuangan sisa industri atau buangan terjadual sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran di sungai.

“Bagi memastikan sungai bersih daripada sampah-sarap, kerajaan negeri juga dalam perancangan melaksanakan dua kaedah utama kawalan iaitu dengan pemasangan perangkap sampah di longkang dan pemasangan ‘logboom’ di sungai bagi memerangkap sampah dari terus terlepas ke sungai dan laut,” katanya.

Sementara itu, katanya, program World Cleanup Day peringkat negeri hari ini dijalankan serentak di beberapa lokasi di seluruh daerah dengan tema bagi peringkat negeri ialah ‘Moh Pungut Sampah’. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: