Sabtu, 12 September 2020

Kluster baru dikesan di Kunak

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 49 orang disaring dalam kluster Laut 
setakat ini yang semuanya ialah warganegara Filipina.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baru Covid-19 yang dinamakan kluster Laut dalam kalangan pendatang tanpa izin di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu ialah seorang tahanan (kes ke-9,859) di pusat tahanan sementara Tawau yang dihantar pulang ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Tetapi, katanya, lelaki itu menyusup dari Zamboanga ke Sabah melalui jalan tikus untuk melawat isterinya pada 5 Sept lalu.

“Isteri kes (iaitu kes ke-9,860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 Sept lalu semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, wanita itu mula mengalami gejala pada 6 Sept lalu.

Katanya, hasil pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat mendapati 2 lagi kes positif, iaitu anak dan jiran kes indeks.

“Sehingga hari ini, 49 orang disaring dalam kluster ini. Semua saringan ini melibatkan warganegara Filipina.

“Daripada jumlah ini, 4 kes dikesan positif Covid-19, 14 individu negatif dan 31 masih menunggu keputusan.”

Beliau berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Katanya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sudah dijalankan di lokasi dikenal pasti.

Tiada ulasan: