Selasa, 15 September 2020

Kerajaan negeri salur RM1 juta bantuan makanan kepada penduduk Kota Setar, kata MB Kedah

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata badan bukan 
kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang berhasrat untuk 
turut menyumbang boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi 
Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar di talian 04 7027080.

ALOR SETA: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penyaluran bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penghantaran bekalan itu akan diuruskan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Agihan sendiri bantuan tidak dibenarkan kerana dibimbangi akan menyebabkan penularan virus Covid-19 menerusi pergerakan keluar masuk ke kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang berhasrat untuk turut menyumbang boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar di talian 04 7027080.

“Mereka yang terputus bekalan makanan sepanjang PKPD juga boleh hubungi terus talian sama untuk membuat aduan dan memaklumkan alamat kediaman masing-masing,” katanya.

Sanusi berkata, selain itu, “food bank” Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang terdapat di semua masjid di seluruh negeri itu, termasuk di kawasan PKPD juga boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan.

“Penduduk yang terbabit boleh menghubungi penolong amil LZNK atau jawatankuasa masjid di kawasan berhampiran masing-masing untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Beliau berkata, di daerah Kota Setar, terdapat kira-kira 6,000 penerima bantuan tetap bulanan daripada JKM, LZNK, dan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang menerima bantuan terus ke akaun masing-masing.

Katanya, sebanyak 366,787 penduduk diletakkan bawah PKPD secara pentadbiran bermula 11 September hingga 25 September ini, berikutan penularan pandemik Covid-19 daripada kluster Telaga dan Sungai di daerah itu.

“Sebelum ini, kerajaan negeri membelanjakan RM500,000 sebagai bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan semasa PKPD di Amanjaya,” katanya.

Tiada ulasan: