Rabu, 16 September 2020

Johor nafi tamat elaun ketua kampung

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
SAMSOLBARI JAMALI

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menafikan dakwaan Gabungan Persatuan Ketua Kampung Johor (GPKKJ) bahawa elaun ketua kampung RM400 dtamatkan serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali (gambar) berkata, pihaknya akan meneruskan bayaran elaun kepada kira-kira 700 ketua kampung daripada lantikan kerajaan terdahulu hingga kontrak tamat.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah bercadang menghentikan bayaran elaun walaupun kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar menamatkannya bermula Ogos lalu.

“Pihak kementerian terlibat telah mengeluarkan surat penamatan bayaran elaun RM500 yang dibayar kerajaan Persekutuan Julai lalu. Namun, kerajaan negeri Johor tidak pernah bercadang menamatkan elaun RM400 ketua kampung yang masih berkhidmat.

“Apa yang berlaku adalah salah faham berikutan ada ke­tua kampung lewat menerima bayaran elaun mereka, namun ada yang sudah dibayar. Bahagian Kewangan Johor juga mengakui bayaran elaun masih dibuat seperti biasa mengikut kontrak lantikan dengan ketua kampung yang belum mene­rima elaun akan dibayar dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi GPKKJ, Ismail Suarno bahawa ketua kampung nege­ri ini daripada lantikan kerajaan terdahulu dianiaya apabila elaun mereka tidak dibayar sejak bulan lalu sedangkan kontrak mereka tamat Disember ini.

Sehubungan itu, GPKKJ me­mohon untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya isu itu mendapat perhatian baginda.

Mengulas lanjut, Samsolbari berkata, kerajaan negeri menghargai perkhidmatan ke­tua kampung yang banyak membantu melicinkan pelbagai urusan pentadbiran terutama agihan bantuan selain menyampaikan polisi kerajaan sedia ada.

“Oleh itu, ketua kampung yang masih berminat berkhidmat supaya membuat permohonan di pejabat daerah kawasan mereka bagi menjalani proses temu duga yang sedang dijalankan.

“Kita sudah melantik 84 ke­­tu­a kampung dengan ada kawa­san mengekalkan ketua kam­pung­ sebelum ini berikutan perkhidmatan cemerlang selain me­reka masih mahu berkhidmat.

“Masih banyak kawasan belum ada ketua kampung baharu dan proses ini perlu disegerakan untuk membolehkan kita membuat lantikan bagi mengelakkan masalah berbangkit berikutan kelewatan lantikan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: