Khamis, 17 September 2020

Borhan, Zawawi angkat sumpah exco baharu Selangor

Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni kedua-duanya daripada PKR 
mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah 
di Istana Alam Shah hari ini. (Gambar Bernama)

KLANG: Dua exco Selangor yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah hari ini.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dan Adun Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni, kedua-duanya daripada PKR, berkuat kuasa Sabtu ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang ditemui pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah itu berkata portfolio kedua-dua exco tersebut akan ditentukan kemudian.

Setakat ini, portfolio kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan kosong apabila perkhidmatan Adun Selat Klang daripada PPBM Abdul Rashid Asari ditamatkan Mac lepas berikutan penjajaran semula politik di peringkat persekutuan.

Selain itu, khidmat exco perumahan dan kehidupan bandar yang dijalankan oleh Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha ditamatkan pada Julai lepas selepas keahlian beliau dalam PKR dilucutkan.

Tiada ulasan: