Rabu, 16 September 2020

Andaipun di hujung senapang Garuda, Jusit tetap kibar Jalur Gemilang

Jusit Rantai, individu pertama di Sabah yang menaikkan bendera Malaysia 
ketika pengisytiharan pembentukan Malaysia. (Gambar keluarga Jusit Rantai)

PETALING JAYA: “Berbagai kaum sudah berikrar, menjunjung cita-cita 1 bangsa 1 bahasa Malaysia berjaya. Dari Perlis sampailah ke Sabah, kita sudah merdeka negara makmur rakyat mewah kita sudah berjaya.”

Begitulah bait lirik lagu “Malaysia Berjaya” yang berkumandang ketika sambutan pengisytiharan Malaysia di Padang Bandaran, Jesselton atau kini dikenali sebagai Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 Sept 1963.

Tiga beradik – George Laim Jusit, Jane Jusit, dan Juliana Jusit – menyaksikan peristiwa yang meresap jiwa ribuan orang yang hadir itu.

Kebanggaan di hati keluarga Jusit ini melebihi segala-galanya kerana individu yang diberi amanah menaikkan Jalur Gemilang pada hari itu ialah bapa mereka, Sarjan Jusit Rantai.

Gorge, Jane, dan Juliana juga mempunyai peranan masing-masing pada hari itu. Mereka mewakili sekolah masing-masing yang berbaris di Padang Merdeka bagi memeriahkan upacara pengisytiharan Malaysia.

“Walaupun masing-masing berasa teruja kerana kami anggap bapa sebagai ‘hero’ terpilih menaikkan bendera Malaysia tetapi kami masih berjaga-jaga,” kata Juliana, 65, kepada FMT.

“Bapa sudah pesan supaya jaga diri dan berhati-hati pada waktu itu berikutan khabar angin akan berlaku kekacauan.”

Jusit Rantai berdiri di belakang pentas (kiri gambar) yang menempatkan 
Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein dan Ketua Menteri 
Muhammad Fuad Stephens ketika pengisyiharan Malaysia. (Gambar 
keluarga Jusit Rantai)

Amukan Garuda

Peristiwa bersejarah di Kota Kinabalu ketika itu berlatarkan Konfrontasi (1963–1966), respon Indonesia kepada pembentukan Persekutuan Malaysia susulan pengunduran British di Asia Tenggara.

Ia melibatkan penyusupan bersenjata, serangan bomb, dan tindakan subversif lain yang bertujuan untuk menggugat kestabilan anggota persekutuan baharu itu, iaitu Sabah, Sarawak, Tanah Melayu, dan Singapura.

“Ketika itu, ada khabar angin mengatakan sesiapa yang menaikkan bendera berada dalam bahaya kerana mungkin diserang,” kata Juliana.

“Di saat melihat bapa menaikkan bendera, hati saya berdebar-debar, bangga, dan takut bercampur-baur kerana bimbang bapa mungkin diserang.”

Walaupun upacara selesai tanpa gangguan, bayangkan setiap saat yang begitu menguji perasaan 3 beradik ini yang berusia 8 hingga 11 tahun ketika itu.

“Selepas habis majlis bapa pergi kepada kami dan kami berpelukan erat kerana semuanya selamat,” kata Juliana.

Sarjan Jusit Rantai di hadapan Balai Polis Pensiangan pada 
1970 ketika bertugas sebagai ketua polis balai. (Gambar 
keluarga Jusit Rantai)

Hingga akhir hayat

Jusit Rantai, seorang pegawai polis berketurunan Murut, merupakan individu pertama di Sabah yang menaikkan Jalur Gemilang.

Dari sebelum peristiwa 16 Sept itu lagi, Jusit merupakan perantara antara pemerintah dengan suku kaumnya yang ketika itu agar berfikiran negatif tentang betapa pentingnya pembentukan Malaysia.

Di sebalik kesungguhan dan ketegasan Jusit adalah tulang belakangnya, Norah Siambing, bekas bidan di Hospital Keningau dan penjaga kewangan keluarga. Bersama mereka dikurniakan 17 anak termasuk George, Jane, dan Juliana.

Juliana Jusit

Juliana menceritakan bapanya sangat komited apabila diberi amanah menaikkan Jalur Gemilang. Menurut pesara guru ini, sebenarnya ada seni tertentu dalam perbuatan yang dilihat mudah itu.

“Bapa berlatih hampir sebulan kerana baginya tugas menaikkan bendera itu tugas paling berat sepanjang kerjayanya sebagai anggota polis.”

Norah meninggal dunia pada 21 Feb 2006, dan Jusit mengikut langkahnya pada 11 Jan 2010.

Jane, 67, berkata kebanggaan yang dirasai pada 16 Sept itu tidak pernah pudar malah diingati setiap tahun menerusi upacara menaikkan bendera di Kampung Susulat di daerah Sook, yang diamalkan sejak 1978 selepas Jusit bersara pada 1976.

“Peristiwa 16 Sept amat besar maknanya kepada kami semua,” katanya kepada FMT.

Jane Jusit

“Tiap-tiap tahun pada sambutan Hari Malaysia, keluarga besar kami yang terdiri daripada 4 generasi iaitu 17 adik beradik, 59 cucu, 46 cicit, dan 3 piut akan melakukan pelbagai aktiviti sukan, jamuan, dan membersihkan tanah perkuburan bapa dan ibu.”

Ahli kelurga Jusit berharap untuk membukukan riwayat hidup bapanya, menceritakan tentang susur galur seorang tokoh Murut.

FMT diberitahu Jusit merupakan anak angkat kepada Agnes Newton Keith, penulis dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan autobiografi tentang kehidupan di Sabah sebelum, semasa, dan selepas Perang Dunia Ke-2.

Agnes dan suaminya, Harry, berada di Sandakan ketika Jepun mendarat pada 19 Jan 1942. Mereka berada dalam tawanan tentera Nippon sehingga mereka dibebaskan askar Australia pada 11 Sept 1945.

Buku pertama Agnes, “Land Below the Wind”, menjadi cogankata tidak rasmi Sabah.

Lakaran Jusit dalam buku Agnes Keith Newton, “Land 
Below The Wind”. (Gambar keluarga Jusit Rantai)

“Bapa diserahkan kepada keluarga Keith ketika berusia 8 atau 9 tahun dalam suatu majlis keraian sempena pertabalan King George (VI) di kediaman Keith di Sandakan.

“Malah Agnes turut memasukkan lakaran Jusit sebagai seorang budak lelaki dalam bukunya itu,” katanya.

Tiada ulasan: