Ahad, 16 April 2017

PAS terima keputusan KDN terhadap Nanyang Siang Pau

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menerima keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak mengenakan tindakan terhadap Nanyang Siang Pau berhubung penerbitan kartun mempersenda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sendiri telah menerima permohonan maaf secara rasmi daripada akhbar berkenaan dan menganggap kes tersebut telah selesai.
 
"Nanyang Siang Pau pun sudah minta maaf dan dia tulis surat rasmi kepada parti dan dia (Nanyang Siang Pau) menyesal di atas apa yang berlaku dan saya fikir permohonan maaf itu, bagi pihak PAS kita terimalah dan dia telah mengaku kesilapan dan berjanji tidak akan mengulanginya balik," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga yakin keputusan yang dibuat KDN itu diambil selepas berpuas hati dengan permohonan maaf dan meneliti penjelasan yang diberikan akhbar berkenaan. 
 
"Saya ingat KDN, itu hak KDN dia tidak ingin mengambil tindakan mungkin dia (Nanyang Siang Pau) sudah hantar surat rasmi tunjuk sebab semua jadi mungkin pihak KDN berpuas hati," ujarnya. 
 
"Tindakan minta maaf secara rasmi dan dijanji tidak akan mengulangi balik bagi saya sudah memadai sebab yang penting ialah mana-mana akhbar harus bertanggungjawab dengan apa yang mereka buat dan bila mereka menyesal dan sebagainya, bagi kita sudah cukup," katanya lagi.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, tiada tindakan akan dikenakan terhadap Nanyang Siang Pau ekoran pihaknya telah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan akhbar berbahasa Cina itu.
 
Walau bagaimanapun katanya, KDN akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang melakukan perbuatan sama pada masa akan datang.
 
Sebelum ini, akhbar itu menimbulkan kemarahan terutamanya kepada penyokong PAS apabila memaparkan karikatur seekor monyet bersongkok dilabel sebagai 'speaker' dan seekor lagi memakai serban dinamakan 'Hadi Awang bertenggek di sebatang pokok 'Akta 355', merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
 
Sehari selepas penerbitan karikatur tersebut, penyokong PAS mengadakan demonstrasi di ibu pejabat akhbar itu dengan mengemukakan empat tuntutan, antaranya mendesak akhbar itu memohon maaf secara terus kepada Hadi.
 
Nanyang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pandikar dan Hadi di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.
 
 

Tiada ulasan: